TEUKU Syeh Zubaili mengajar kelas al-Quran untuk kanak-kanak dan dewasa di Taman Tun Dr Ismail.
Program setiap Sabtu galak generasi muda kuasai pengetahuan bahasa Arab, tajwid
"ADAM, ulang baca ya. Asiah, baca lagi mukaddam itu sayang." Siapa yang akan menolak atau menentang ajakan itu jika dituturkan dengan lembut. Hati tenang dan mudah akur pada suruhan itu.
Begitulah suasana dalam kelas al-Quran yang dikendalikan Teuku Syeh Zubaili Teuku Raja, 31, anjuran pertubuhan bukan kerajaan Persatuan Al-Hunafa setiap Sabtu di pejabat pertubuhan itu di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Sambil mengajar, Teuku Syeh Zubaili sempat mengingatkan pelajar lain mengulang ayat suci al-Quran supaya mereka mahir dan dapat menguasai ilmu yang diajar.
Ditanya pendekatan mendidik pelajar supaya suka mencintai al-Quran, anak kelahiran Aceh itu mengakui, ia menuntut kesabaran yang tinggi dan jauh daripada rasa cepat putus asa.
"Saya tidak mahu pelajar tertekan setiap kali ingin belajar membaca atau memperbaiki bacaan al-Quran. Saya mahu mereka gembira dan suka membaca al-Quran. Paling penting, mereka suka hendak ke kelas," katanya.
Graduan Sekolah Tinggi Agama Islam Sumatera (STAIS) yang pernah mengikuti kelas tafsir qiraat di Mesir selama tiga tahun itu berkata, matlamatnya untuk berdakwah dan meninggikan martabat al-Quran.
Menjadi hasratnya melihat kanak-kanak, remaja dan dewasa mencintai al-Quran, sentiasa membacanya serta memahami kandungan wahyu Allah itu supaya hidup mereka tidak lepas daripada bimbingan al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW.
Justeru, katanya, jika boleh lebih ramai yang datang untuk mengikuti kelas al-Quran diadakan percuma itu.
Kelas al-Quran anjuran Persatuan Al-Hunafa dimulakan selepas Ramadan 2007 dan persatuan turut menganjurkan kelas tafsir, hadis, akidah, bahasa Arab dan tajwid yang terbuka kepada umum tanpa bayaran.
Selain itu, program ceramah oleh tokoh terkemuka turut diadakan dari semasa ke semasa yang membicarakan isu serta perkembangan berkaitan umat Islam.
Tidak dinafikan, cabaran bagi Al-Hunafa ialah mendapatkan penyertaan serta komitmen daripada generasi muda daripada usia 13 hingga 25 tahun untuk terbabit dalam kegiatan mereka. Langkah proaktif diambil ialah Al-Hunafa menubuhkan Kelab Remaja Al-Hunafa.
Pembabitan Teuku Syeh Zubaili bermula apabila bekas Naib Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa di Mesir 2001 itu dijemput menjadi imam oleh pengurusan persatuan dan kemudian beliau diminta mengendalikan kelas mengajar al-Quran untuk golongan dewasa.
"Pada awalnya ada lapan pelajar dewasa tetapi ini tidak mematahkan semangat kerana walaupun yang datang seorang, saya tetap mengajar. Inilah jihad dan syukur kepada Allah jumlah itu semakin bertambah dan kini ada 20 pelajar dewasa.
"Apabila ada permintaan untuk mengajar kanak-kanak, saya tidak menolak. Publisiti untuk kelas ini dari mulut ke mulut dan berharap lebih ramai menyertai kelas al-Quran ini," katanya.
Beliau berkata, tidak dinafikan ada golongan dewasa yang malu untuk belajar kerana sudah lama meninggalkan kelas membaca al-Quran dan mereka memerlukan sokongan moral supaya tidak terus jauh daripada al-Quran.
Hakikatnya, mereka ingin dan suka untuk membaca al-Quran tetapi disebabkan bacaan tidak betul serta sukar membunyikan huruf, menimbulkan rasa malu yang akhirnya melunturkan semangat untuk belajar.
"Saya nasihatkan ini adalah bab jihad. Memang sukar membaiki mahraj huruf tetapi jika tidak diperbetulkan, sampai bila nanti tidak akan betul. Kita perlu banyakkan berlatih untuk memperbaiki mutu bacaan," katanya.
Peta ke Persatuan Al-Hunafa, TTDI
View Larger Map
Persatuan Al-Hunafa Malaysia
61A Lorong Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr Ismail
60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan
Phone/Fax: 03-7727 4935
Email: alhunafa@gmail.com
Sumber: Hasliza Hassan, Ruangan Agama BH
Rungan agama BH
Sunday, March 15, 2009
Kelas percuma Al-Hunafa perbaiki bacaan kitab suci Al-Quran
Labels:
Kelas Al-Quran,
Kuala Lumpur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment