Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Saturday, January 22, 2011

Ancaman Bagi Pemabuk

Hadith:

Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum khamar di dunia lalu dia meninggal dunia sedangkan dia telah terbiasa dan belum bertaubat maka dia tidak dapat meminumnya di akhirat nanti.”

(Bukhari)


Huraian
Hukum arak adalah jelas di dalam al-Qur'an, hadith dan ijma' ulama, sehingga pengharamannya itu telah menjadi sesuatu yang telah diketahui umum.

Pengharaman arak itu bukan sahaja kepada orang yang meminumnya, bahkan ia meliputi kepada apa jua bentuk pertolongan yang boleh membawa kepada peminuman arak, kerana dosa menolong kepada berlakunya peminuman arak, walaupun dia tidak meminumnya, samalah juga dosanya seperti orang yang meminum arak.

Oleh itu umat Islam mestilah berhati-hati dan peka serta bersikap tegas dengan perkara-perkara yang berhubungkait dengan halal haram dalam agama, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan makanan dan minuman kerana ia akan menjadi darah daging dan mempengaruhi pembentukan jiwa seseorang individu muslim itu sendiri.

Berkenaan arak di syurga pula, al-Quran ada menyebutkan tentang sifat-sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa seperti adanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, yang terdiri dari air susu, arak dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih.

Di samping itu disediakan pula segala jenis buah-buahan di mana orang-orang yang tinggal kekal di dalamnya akan diberi makanan dan minuman yang sedap dan lazat yang belum pernah dirasa atau dimakan ketika hidup di dunia.

Sumber:
http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=918

Friday, January 21, 2011

Jauhi Arak Untuk Keselamatan Negara

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Dalam persoalan arak ada sepuluh orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya ”

Riwayat Anas


Huraian
i) Arak yang juga disebut “khamar” dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.

ii) Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudharatan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.

iii) Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.

iv) Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.

v) Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat

Sumber:
http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=260

Thursday, January 20, 2011

Hukum Berkenaan Arak

Hadith:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Ijmak ulama’ telah menetapkan bahawa meminum arak adalah haram sama ada dengan kuantiti yang sedikit atau pun banyak.

2. Islam juga mengharamkan daripada menjual, membeli, ataupun memperniagakan arak meskipun dengan orang yang bukan Islam. Hal ini tidak terkecuali dengan mengangkut atau membawa serta membuat arak. Hukumnya juga haram.

3. Demikian juga Islam mengharamkan seseorang Muslim menjual anggur kepada orang yang mahu memprosesnya menjadi arak.

4. Majlis-majlis yang berunsur arak juga hendaklah diboikot dan kita dilarang mendampingi peminum arak.

5. Menggunakan arak semata-mata sebagai ubat juga adalah haram dan berdosa. Lain halnya dengan campuran ubat dengan kadar tertentu dari alkohol- contohnya kerana darurat-seperti untuk memelihara sesuatu supaya tidak rosak. Tetapi ia hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

i) Terdapat bahaya yang sebenar ke atas kesihatan manusia jika tidak meminum ubat tersebut.

ii) Tiada ubat lain yang halal untuk menggantikannya.

iii) Ia hendaklah dengan nasihat seorang doktor Muslim yang dipercayai dalam profesionnya dan juga dari segi agamanya. Hal ini kerana prinsip Islam itu berdiri di atas dasar kemudahan, menghindarkan bahaya dan melaksnakan maslahah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:” Sesiapa yang terpaksa (memakannya) tanpa mengingininya dan tanpa mengulanginya maka tiada dosa atasnya.” (al-Baqarah: 173)

Sumber:
http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=397

Tuesday, January 18, 2011

Minuman yang diharamkan









Friday, March 12, 2010

Membaca Quran – Memperbetulkan Tanggapan

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
16 April 2004m / 26 Safar 1425h
Membaca Quran – Memperbetulkan Tanggapan


Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekelian,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kita mati melainkan di dalam keadaan menyerah diri kepada Allah SWT.

Maasyiral muslimin rahimakumullah,

Pada minggu yang telah lepas, kita telah pun bersama-sama mendengarkan khutbah tentang kedudukan Al-Quran sebagai penyuluh kehidupan serta keunggulan kandungan Al-Quran sebagai pedoman hidup manusia sepanjang zaman.
Pada hari ini pula, kita akan mendengarkan khutbah tentang peranan dan tanggungjawab setiap daripada kita terhadap Al-Quran sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w., sebagai salah satu rahmat yang tidak ada taranya bagi alam semesta. Di dalamnya terkumpul Wahyu Ilahi yang menjadi petunjuk, pedoman serta pelajaran bagi sesiapa yang mempercayai serta mengamalkannya.

Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab kita pula, selain daripada beriman kepada Al-Quran sebagai salah satu daripada kitab-kitab Allah, kita juga diseru supaya merasa cinta untuk membacanya, malahan membaca Al-Quran itu bukan sahaja merupakan suatu ibadah, tetapi ia juga dapat menjadi ubat dan penawar bagi orang-orang yang gelisah jiwanya.

Keutamaan dan kelebihan membaca Al-Quran ini telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang mana Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa besarnya rahmat Allah terhadap orang-orang yang membaca Al-Quran sebagaimana sabda beliau yang bermaksud :

"Tidak berkumpul sekumpulan manusia di dalam rumah Allah, mereka membaca Al-Quran dan mempelajarinya kecuali akan diturunkan sakinah (ketenteraman), dan diselubungi dengan rahmah, dan para malaikat akan mengelilingi mereka. Dan Allah akan menyebut mereka kepada para malaikat di langit." (Hadith riwayat Imam Muslim )

Berdasarkan hadith ini, nyatalah kepada kita bahwa membaca Al-Quran, tidak kira sama ada seseorang itu mengetahui ertinya ataupun tidak, ia tetap dikira sebagai ibadah, akan mendapat ketenteraman di hati orang yang membacanya serta mendapat rahmah daripada daripada Allah.

Sebagai rahmah Allah kepada hamba Nya juga, bukan sahaja orang yang membaca Al-Quran dikira melakukan ibadah tetapi mereka yang mendengarkan Al-Quran juga mendapat ganjaran dan rahmat daripada Allah s.w.t.

Sebagaimana Firman Allah :


"Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat".
Surah Al-A'raaf : 204

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,

Mendengarkan bacaan Al-Quran dengan baik, dapat menghiburkan perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk kepada orang yang membaca dan mendengarkannya. Inilah yang dimaksudkan dengan Rahmat Allah.

Selain daripada galakan membaca dan mendengarkan Al-Quran, umat Islam juga diseru supaya bertadabbur dengan Al-Quran, iaitu dengan berusaha untuk memahami dan memikirkan isi kandungan yang terdapat di dalam Quran sebagaimana yang disebutkan oleh Allah dalam Surah Sad ayat 29 :


Ertinya :
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), - Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

Banyak sekali contoh-contoh sejarah yang telah diriwayatkan pada zaman Rasulullah s.a.w. tentang pengaruh bacaan Al-Quran terhadap hati orang-orang kafir, yang mana setelah mereka mendengarkan bacaan Al-Quran itu, hati mereka yang pada mulanya keras dan marah kepada nabi Muhammad s.a.w. serta sahabat-sahabatnya, berubah menjadi lunak dan mahu mengikuti ajaran Islam, sebagaimana yang telah berlaku ke atas sahabat besar nabi s.a.w. iaitu Sayyidina Umar Bin Al-Khattab r.a.

Bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri sangat gemar mendengarkan bacaan Al-Quran dari orang lain dan pada masa yang sama menghayatinya sehingga hati Rasulullah kadang-kadang menjadi sebak kerana terlalu hiba mendengarkannya.

Sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdullah Ibnu Mas'ud menceritakan bahawa Rasulullah berkata kepadaku :
" Hai Ibnu Mas'ud, bacakanlah Al-Quran untuk ku ! ". Lalu aku menjawab: "Apakah aku pula yang membacakan Al-Quran untukmu Ya Rasulullah, padahal Al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu ? ". Rasulullah menjawab : "Aku senang mendengarkan bacaan Al-Quran itu dari orang lain."

Kemudian Ibnu Mas'ud pun membacakan beberapa ayat dari Surah An-Nisaa'. Maka tatkala bacaan Ibnu Mas'ud itu sampai kepada ayat ke-41 yang berbunyi:


"Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (umatmu)."

Lalu beliau berkata: "Cukuplah sekian sahaja, Wahai Ibnu Mas'ud!". Ibnu Mas'ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya.“
Lihatlah, betapa hebatnya kesan Al-Quran kepada umat manusia, sehinggakan hati yang dahulu keras boleh menjadi lembut lantaran hanya mendengarkan alunan Quran sahaja, begitu juga dengan mendengarkan alunanannya juga boleh melahirkan perasaan sebak dan menitiskan air mata lantaran terlalu menghayati isi kandungannya.

Maka kita juga selaku umat baginda s.a.w. yang mempusakai Al-Quran. Kita perlu bertanya kepada diri kita, berapa kerap kah kita membaca Al-Quran ? Adakah Al-Quran yang selalu menjadi santapan halwa telinga kita pada setiap masa kita di perjalanan atau di rumah ? Pernah kah kita menghayati isi kandungan Quran apabila kita membaca atau mendengarkannya ? Atau pernah kah hati kita merasa hiba, sedih atau takut apabila kita membaca atau mendengarkan ayat-ayat Quran tentang janji Allah terhadap nikmat atau peringatan azab Allah kepada manusia yang menderhaka perintahnya ?

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah sekelian,

Pada dasarnya manusia yang dilantik oleh Allah sebagai sebagai khalifah Allah mempunyai peranan menjadikan Quran sebagai pegangan dalam kehidupan mereka. Ini jelas sebagaimana Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ 174 – 175:


Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya). Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (iaitu Syurga) dan limpah kurniaNya (yang tidak terkira), dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus yang membawa kepadaNya.

Bagi memastikan perkara ini tercapai, maka kita perlu mempertingkatkan lagi penghayatan diri kita terhadap Quran dalam berusaha memahamkan isi kandungan Quran dengan mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran seperti Bahasa Arab, Tafsir, Ulum-Quran dan lain-lain lagi ilmu yang seumpama dengan nya.
Moga-moga dengan ini kita semua akan tergolong di kalangan orang-orang yang beriman sebagaimana yang digambarkan oleh Allah dalam Surah Al-Anfal : 2



"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka karenanya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."


Sumber:
Majlis Ugama Islam Singapura

Related Posts with Thumbnails