Sunday, April 12, 2009

Pelajar Sekolah Di Yaman Wajib Menghafal Al-Quran

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@yahoo.com)

Usai solat zohor di Masjid Universiti Sana’a, kelihatan 2 orang pelajar sekolah menengah berpakaian seragam sedang duduk di tengah masjid saling menghadap antara satu sama lain. Salah seorang dari keduanya membuka mushaf al-Quran lalu membacanya sambil yang seorang lagi mendengar bacaan rakannya itu. Sekali-sekala dia menegur sekiranya terdapat kesilapan tajwid dalam bacaan. Saya hanya memerhati dari jauh. Apabila mereka selesai dan bersiap-siap untuk keluar dari masjid, saya cepat-cepat mendekati mereka lalu memberi salam. Perbuatan saya itu membuatkan mereka saling berpandangan antara satu sama lain.

Setelah saya duduk menyertai mereka, saya mohon izin untuk bertanya beberapa perkara. Salah seorang yang kelihatan lebih tua mengangguk dalam kehairanan. Tidak terfikir pula saya untuk bertanya nama mereka berdua. Soalan pertama yang saya tanyakan, adakah sukatan pelajaran di sekolah mewajibkan hafalan al-Quran? Mereka mengangguk serentak. Saya bertanya lagi berapa juzuk dalam setahun? “Hanya surah-surah tertentu,” jawab mereka. “Surah apa yang perlu dihafal?,” soal saya ingin tahu. Salah seorang menjelaskan, untuk semester ini dia perlu menghafal separuh daripada surah al-Israk, al-Baqarah dan mana-mana surah lain mengikut pilihan. Itu baru hafalan untuk satu semester. Semasa di peringkat sekolah rendah mereka sudah diwajibkan menghafal juzuk ke-30. Saya mengangguk kagum sambil memberitahu bahawa di negara Malaysia, pendidikan agama di sekolah-sekolah rasmi (kerajaan) kurang diberikan keutamaan apatah lagi untuk menghafal al-Quran. “Tiada pelajaran al-Quran dan hafalan?,” mereka sangat hairan. Bukan begitu, cuma kurang diberikan penekanan (atau memang tiada langsung?). Saya memberitahu, di Malaysia, pelajaran al-Quran dan ilmu-ilmu agama boleh dipelajari di sekolah-sekolah yang khusus untuk aliran pengajian agama Islam. Sekolah-sekolah kebangsaan lebih banyak mementingkan subjek-subjek akademik. Salah seorang daripada mereka memberitahu jika diwajibkan pengajian al-Quran tentu lebih baik. “Sudah tentulah,” jawab saya serta-merta. Tidak lama kemudian, mereka meminta izin untuk beredar. Saya turut beredar bersama-sama mereka keluar dari masjid. Tidak seperti mereka, fikiran saya masih tertumpu kepada topik perbualan tadi.

Mereka itu adalah pelajar-pelajar sekolah kerajaan dan bukannya pelajar pusat tahfiz al-Quran atau sekolah-sekolah yang khusus untuk pengajian Islam. Saya juga difahamkan bahawa sukatan mata pelajaran tafsir al-Quran juga agak tinggi di sekolah-sekolah ‘biasa’ di sini. Jauh berbeza dengan sukatan pelajaran agama Islam untuk anak-anak di negara kita. Saya masih ingat ketika di zaman persekolahan. Semasa di peringkat sekolah menengah dulu, saya bukanlah pelajar aliran agama seperti sekarang. Ya, saya pernah melalui sistem pendidikan yang tidak mementingkan ajaran agama. Keras sangatkah tuduhan saya ini? Tunggu dulu..

Kalau tidak salah saya, mata pelajaran agama Islam hanya diajar lebih kurang 1 jam 30 minit dalam seminggu atau kurang daripada itu. Ini berbeza dengan subjek fizik, kimia, biologi, matematik tambahan dan lain-lain. Tidak salah kalau dikatakan, mata pelajaran agama Islam bukanlah penentu apa-apa pun. Dahulu pernah disebutkan, dalam SPM pelajaran agama Islam ‘sama taraf’ dengan pendidikan seni. Mengapa saya mengatakan sistem pendidikan sebegini tidak mementingkan ajaran agama? Kerana kami hanya mempelajari agama Islam sebagai satu ‘mata pelajaran’ semata-mata, tanpa penghayatan. Jadual belajar yang padat tidak memperuntukkan ruang untuk para pelajar bersolat zohor dan asar. Mungkin ada sebilangan kecil pelajar yang sempat solat zohor sebelum bermula kelas sesi petang. Namun pada waktu asar, tiada arahan dari pihak sekolah supaya semua kelas dihentikan agar para pelajar pergi menunaikan solat asar berjemaah di masjid (di sebelah pagar sekolah) atau surau dalam kawasan sekolah. Cuma ada sebilangan kecil dari kalangan pelajar-pelajar yang ada kesedaran akan meminta izin untuk ke surau sebagaimana para pelajar lain meminta izin untuk pergi ke tandas! Inilah sistem pendidikan tanpa penghayatan dan pelaksanaan. Mungkin sekarang sudah ada sedikit perubahan. Saya difahamkan, pihak sekolah saya dulu sudah memperuntukkan masa sekitar 15-30 minit pada waktu zohor dan asar untuk para pelajar ke masjid beramai-ramai. Namun, dari segi keutamaan dan penghayatannya masih tidak jauh berbeza. Walaupun para pelajar diperkenalkan dengan JQAF, namun sistem yang ada ini masih belum memperkasakan pendidikan agama Islam. Adakah para pelajar ini benar-benar dididik untuk meyakini dan mengamalkan ajaran Islam itu? Maka itu, keruntuhan akhlak di kalangan para pelajar sangat merunsingkan, membimbangkan dan membahayakan.

Di Yaman, ada juga masalah moral di kalangan para pelajar. Tetapi tidaklah begitu serius sehingga memukul guru, ugut, kongsi gelap, membakar sekolah, pergaulan tanpa batas, seks bebas, buang anak dan lain-lain yang tidak masuk akal jika kita fikirkan. Apabila membicarakan masalah ini, pasti semua orang akan menunding jari. Seringkali dipersalahkan pihak sekolah, ibubapa, rakan sebaya, pihak polis, kerajaan dan sebagainya. Tidak perlulah saya memberikan statistik jumlah pelajar yang tidak boleh membaca al-Quran, tidak tahu bacaan-bacaan dalam solat, tidak tahu mandi hadas dan lain-lain. Sebenarnya kita semua bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini. Terpulanglah kepada kewarasan kita untuk memikirkan jalan yang terbaik.
Cabaran yang menunggu semasa di peringkat pengajian tinggi lebih menakutkan lagi. Saya pernah memberikan ceramah kepada para pelajar tajaan yang akan berangkat ke luar negara. Apabila ditanya tentang pergaulan sesama pelajar lelaki dan perempuan, ada yang memberitahu kepada saya bahawa pergaulan di situ tiada kawalan. Kerana mereka mengikut program pra-universiti itu di kolej swasta. Terdapat pelajar-pelajar yang melakukan ‘study group’ dalam satu rumah bercampur lelaki dan perempuan. Akhirnya tidur bersama-sama di ruang tamu. Kalau begitu keadaannya, bagaimana pula selepas mereka terbang ke negara-negara barat kelak?

Saya melihat masalah keruntuhan akhlak di Yaman tidaklah sebagaimana negara-negara Arab lain yang berkiblatkan pendidikan barat. Menuntut ilmu-ilmu moden yang berkaitan sains dan teknologi juga merupakan satu keperluan. Namun ilmu yang terlebih dahulu perlu mengisi dada anak-anak generasi Islam ini tentulah al-Quran al-Karim dan Sunnah Nabawiyyah. Dengan kedua-dua sumber inilah Rasulullah s.a.w diutuskan untuk mengeluarkan bangsa Arab yang buta huruf dari kegelapan kepada cahaya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:-

"Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf, seorang Rasul di kalangan mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka al-Kitab (al-Quran) dan hikmah (As Sunnah). Sesungguhnya mereka sebelum itu benar-benar dalam kesesatan yang nyata..” (Surah Jum’ah: 2).

Sumber: Persatuan Pelajar Malaysia Yaman PERMAYA
http://permaya.org/yaman/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=427

0 comments:

Related Posts with Thumbnails