Bicara keluarga di radio Ikim FM
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
2010/06/28
Program Keluarga Sakinah disiarkan setiap Isnin dari jam 5.15 petang
SELAMA setahun bermula 7 Jun yang lalu, stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ikim FM akan membicarakan pelbagai perkara berkaitan dengan kekeluargaan yang dinamakan Keluarga Sakinah.
Program selama 45 minit itu tercetus hasil daripada buku tulisan Ahli Lembaga Syariah QSR Brands Berhad, Profesor Datuk Dr Sidek Baba. Beliau membentangkan satu bab setiap minggu daripada 40 bab yang terkandung di dalam buku itu.
Antara topik yang dibincangkan adalah Maksud Dijadikan Manusia Berpasang-pasangan, Ibu Bapa dan Bimbingan Berfikir, Mendidik Anak Lelaki, Membaiki Kesilapan Anak-Anak, Akar Sebab Penyakit Remaja, Membangun Jiwa Merdeka dan pelbagai tajuk lagi yang berkaitan dengan kekeluargaan serta masalah sosial remaja.
Oleh kerana menyentuh mengenai keibubapaan, program Keluarga Sakinah disiarkan Isnin, dari jam 5.15 petang sehingga 6 petang kerana pada waktu itu kebanyakan ibu bapa banyak menghabiskan waktu dalam kereta untuk pulang ke rumah selepas bekerja.
Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, berkata Keluarga Sakinah adalah antara program yang paling diberi perhatian oleh institusi ini. Katanya, IKIM sentiasa menghidangkan program yang mengagungkan kebesaran Allah.
“Program Keluarga Sakinah adalah mengenai cabaran keibubapaan dalam membesarkan anak-anak. Tidak memadai jika kita hanya memberitahu pendengar mengenai apa itu Islam, tetapi kami mahu pendengar memahami bagaimanakah ajaran agama Islam.
“Kami di IKIM ingin memberi peluang kepada pendengar mendapatkan jawapan kepada permasalahan keluarga daripada tetamu yang berpengalaman. Program ini juga membantu mengetengahkan pandangan Islam mengenai amalan kekeluargaan yang mulia bagi memastikan institusi keluarga sejahtera dan stabil,” katanya di majlis pelancaran program Keluarga Sakinah di IKIM, Jalan Duta, di ibu negara. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, QSR Brands Bhd & Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Sementara itu, Dr Sidek Baba pula berkata, zaman paling kritikal untuk mendidik seorang anak bermula dari dalam kandungan lagi. Katanya, dalam proses mendidik, radio Ikim juga berfungsi untuk menyalurkan pandangan serta pendapat.
“Program ini memberi cetusan pemikiran bahawa apa sekalipun konteks pendidikan, ia mestilah bermula dari rumah. Setakat ini kita sudah mendapat maklum balas dari pendengar yang menantikan kemunculan program ini setiap minggu.
“Malah ada juga pendengar dengan rela hati ingin berkongsi masalah mereka dengan kami,” katanya yang akan berada di konti setiap minggu bagi menjawab permasalahan yang diutarakan pendengar.
Program sebanyak 52 episod ini diterbitkan oleh Fairuz Nordin yang turut bertindak sebagai penyampai radio. Fairuz yang ditemui pada pelancaran program ini berkata, IKIM mempunyai hasrat untuk memanjangkan program Keluarga Sakinah kepada stesen televisyen. Bagaimanapun sebagai permulaan, mereka memberi tumpuan kepada radio dulu dan berkemungkinan membawa usul program ini untuk diteliti oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Walaupun mendapat maklum balas positif daripada pendengar, Fairuz berkata IKIM tidak dapat memanjangkan program ini yang dijangka berakhir tahun depan berikutan kewujudan slot lain di dalam stesen radio berkenaan.
“Oleh kerana kesuntukan waktu, kami terpaksa memanfaat waktu selama 45 minit itu dengan sebaiknya. Setiap minggu, Dr Sidek akan membentangkan topik mengikut bab dan pada waktu sama kita akan menjemput orang luar berkongsi pengalaman dan ilmu mereka.
“Insya Allah sekiranya mendapat maklum balas baik, kita akan memanjangkan program ini untuk siaran televisyen. Buat masa ini kami masih lagi mencari saluran televisyen yang sesuai untuk mengetengahkan mengenai pendidikan Keluarga Sakinah,” katanya.
Sumber:
http://www.bharian.com.my/articles/BicarakeluargadiradioIkimFM/Article/
Monday, February 14, 2011
Program Keluarga Sakinah, setiap Isnin dari jam 5.15 petang di IKIM.fm
Labels:
kekeluargaan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment