Saturday, January 22, 2011

Ancaman Bagi Pemabuk

Hadith:

Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum khamar di dunia lalu dia meninggal dunia sedangkan dia telah terbiasa dan belum bertaubat maka dia tidak dapat meminumnya di akhirat nanti.”

(Bukhari)


Huraian
Hukum arak adalah jelas di dalam al-Qur'an, hadith dan ijma' ulama, sehingga pengharamannya itu telah menjadi sesuatu yang telah diketahui umum.

Pengharaman arak itu bukan sahaja kepada orang yang meminumnya, bahkan ia meliputi kepada apa jua bentuk pertolongan yang boleh membawa kepada peminuman arak, kerana dosa menolong kepada berlakunya peminuman arak, walaupun dia tidak meminumnya, samalah juga dosanya seperti orang yang meminum arak.

Oleh itu umat Islam mestilah berhati-hati dan peka serta bersikap tegas dengan perkara-perkara yang berhubungkait dengan halal haram dalam agama, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan makanan dan minuman kerana ia akan menjadi darah daging dan mempengaruhi pembentukan jiwa seseorang individu muslim itu sendiri.

Berkenaan arak di syurga pula, al-Quran ada menyebutkan tentang sifat-sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa seperti adanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, yang terdiri dari air susu, arak dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih.

Di samping itu disediakan pula segala jenis buah-buahan di mana orang-orang yang tinggal kekal di dalamnya akan diberi makanan dan minuman yang sedap dan lazat yang belum pernah dirasa atau dimakan ketika hidup di dunia.

Sumber:
http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=918

0 comments:

Related Posts with Thumbnails