Saturday, September 12, 2009

Al-Quran : Surah Terbaik Untuk Dibaca & Bacaan Gagap Lebih Baik Dari Lancar?

Assalamualaikum wrt,

Berkenaan hadith nabi yang menyebutkan bahawa dua ganjaran bagi orang yang membaca al-quran dengan kepayahan kerana tidak lancar. Adakah ganjaran itu melebihi ganjaran pahala orang yang membaca lancar? Biasanya kalau dengar di ceramah-ceramah, penceramah selalu menyebut bahawa pahalanya melebihi pahala orang yang membaca lancar. Tapi baru-baru ini, saya ada terima email yang memetik dari kitab fadhilat amal dan pendapat yang diberi adalah bertentangan. Mohon penjelasan. Terima kasih.



Jawapan

Berpandukan kepada pertanyaan saudari, di sana ada dua kemungkinan, iaitu :-

* 1) Penceramah tersilap ; Jika ia benar-benar diucapkan oleh penceramah, ternyata sang penceramah tidak melakukan homework dengan baik atau mengambil informasi secara rambang tanpa mempelajari atau merujuk kepada sumber dengan tepat. Hasilnya timbulkan kenyataan silap sebagaimana yang diberi.

* 2) Saudari selaku pendengar tersilap ; mungkin juga, penceramah menerang dengan betul, cuma saudari selaku pendengar yang tersilap menangkap point yang diberikan oleh pencermah berkenaan.

Tanpa perlu kita pergi lebih jauh untuk mencari salah siapa, adalah lebih baik saya jelaskan letak duduk sebenar dalam hal pahala membaca Al-Quran walau dalam keadan tergagap dan tersekat-sekat, serta perbandingannya dengan pahala bacaan mereka yang lancar.

Hadis yang sewajarnya menjadi rujukan dalam bab ini adalah seperti berikut :-

الماهر بالقرآن مع السفرة الكرام البررة والذي يقرأ القرآن ويتتعتع فيه وهو عليه شاق له أجران

Ertinya : Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para Rasul yang ta'at, manakala orang yang membaca Al-Quran walau dalam keadaan tersekat dan tergagap, dan padanya kesukaran, baginya dua pahala. ( Riwayat Muslim, no 1329, 1/550)

Jika dilihat dari huraian kebanyakan para ulama silam, kecenderungan tafsiran mereka terhadap hadis di atas adalah bukan pada ‘membaca sambil melihat Al-Quran' tetapi lebih kepada membaca secara hafalan. Mungkin disebabkan zaman tersebut, menghafal Al-Quran sudah menjadi kebiasaan hampir bagi semua umat Islam, khususnya para ulama. Justeru hampir tidak timbul masalah membaca sambil melihat al-quran lagi.

Imam An-Nawawi menghuraikan bahawa maksud orang yang mahir dalam hadis di atas adalah mereka yang bijak dan sempurna hafalan serta tidak sukar membaca ayat-ayat Al-Quran. Manakala mereka yang menghafal dan bacaannnay tersekat-sekat, maka baginya dua pahala, iaitu pahala bacaan serta pahala melawan kesukaran yang dihadapinya. (Syarah Sohih Muslim)

Namun demikian, terdapat juga ulama silam dan kontemporari khususnya yang memasukkan orang yang membaca al-Quran secara melihat mushaf juga di dalam konteks hadis di atas. Ini kerana hadis tersbeut tidak menyebut kalimah hafazan dengan jelas, ia hanya menyebut ‘baca', justeru adalah lebih tepat untuk tidak mengkhususkannya kepada hafazan semata dan menidakkan kelebihan bagi yang membaca dari mushaf.

Pandangan kedua ini lebih tepat dan kuat serta amat bertepatan dengan keadaan umat Islam hari ini yang semakin sedikit di antara mereka yang mampu membaca Al-Quran dengan baik, walau dengan cara melihat mushaf.

Berkenaan perbandingan yang ditanyakan, ulama besar mazhab Maliki, Al-Qadhi ‘Iyadh berkata hadis di atas sama sekali tidak bermaksud meraka yang tersekat dan gagap lebih baik daripada si pembaca lancar dan tepat, kerana kelebihan yang disebut bagi orang yang mahir iaitu bersama para Rasul adalah jauh lebih besar dan tidak sama sekali mampu ditandingi oleh dua pahala yang diperuntukkan bagi mereka yang kurang mahir.

Memang benar, malah tidak munasabah sama sekali bacaan mereka yang tidak lancar lebih besar pahalanya daripada yang lancar. Jika demikian keadaanya, lebih baik, jangan lancar bacaan sampai bila-bila, bukankah itu tidak logic lagi tidak bertepatan dengan kefahaman aqal yang waras.

Dari penjelasan tersebut, kesimpulannya hadis Nabi s.a.w tadi sebenarnya bukanlah diungkap dengan tujuan membuat perbandingan pahala di antara satu sama lain, tetapi ia lebih kepada penjelasan kelebihan tersendiri bagi kedua-dua keadaan pembaca Al-quran. Bermakna, bagi yang mahir, ada ganjarannya yang tersendiri, demikian juga bagi yang masih belum begitu mahir. Justeru, teruskan usaha bagi yang belum mahir agar mencapai tahap mahir dan setersunya meraih kebaikan yang ditawarkan.

SURAH APA YANG TERBAIK DIBACA?

Timbul persoalan berkaitan surah apakah yang terlebih baik untuk dibaca pada akhir Ramadhan ini.

Jawapan yang paling tepat adalah seluruh al-Quran, namun bagi mereka yang tidak mampu, cuba perhatikan baik-baik sabdaan baginda Nabi ini:-

اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شافعا لأصحابه اقرءوا الزهراوين البقرة وآل عمران فإنهما يأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان أو غيايتان أو فرقان من طير صواف تحاجان عن صاحبهما اقرءوا البقرة فإن أخذها بركة وتركها حسرة ولا يستطيعها البطلة

Ertinya : Bacalah Al-Quran kerana di hari qiyamat kelak ia akan datang memberikan syafa'at kepada tuannya, bacalah dua cahaya iaitu AL-BAQARAH dan ALI-IMRAN, kerana ia berdua akan datang dihari qiyamat kelak seperti dua awan besar atau sekumpulan burung yang akan melindungi tuannya, bacalah AL-BAQARAH kerana sesiapa yang mengambilnya akan mendapat berkat, meninggalkannya adalah penyesalan, dan yang mengambilnya dapat menghalang sihir. (Riwayat Muslim)

Para ulama menjelaskan, pahala bacaannya akan bertindak seperti awan dan sekumpulan burung yang menaungi pembacanya dengan seperti teduhan sayap burung atau awan. Dalam hadis sohih yang lain disebutkan kedua-dua surah ini akan mendahulu pahala dari surah-surah lain.

Banyak lagi surah-surah lain yang mempunyai kelebihan tersendiri, disebut dalam banyak hadis-hadis Baginda Nabi sa.w, namun cukuplah jawapan ringkas saya setakat ini mencadangkan dua surah ini sebagai tunjang bacaan Al-Quran kita.

Salam Lailatul Qadr buat semua.

Sekian,



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

17 Ramadhan 1430 H

07 Sept 2009

Rujukan:
http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=872&Itemid=95

0 comments:

Related Posts with Thumbnails