Sunday, July 18, 2010

Kelas Bimbingan Al-Quran, Taman Impian Putra

Kelas Bimbingan Al-Quran Al-Huffaz, Bandar Seri Putra, Bangi. Terbuka untuk kanak-kanak, rendah dan menengah.

Kelas diadakan 5 kali seminggu, dari hari isnin - jumaat,
2 jam untuk 1 kelas. Boleh pilih sesi petang atau malam.

kelebihan kami:
-waktu belajar yg fleksibel.
-ruang belajar yg selesa dan sistematik.
-mempelajari kaedah mengeja dan membaca alquran & tajwid dgn betul disamping pengisian asas2 fardhu ain.
-kelas petang dari pukul 4.00 hingga 6.00, kelas malam dari pukul 8.00 hingga 10.00

Alamat:
No 28, JLN 4/4D, TAMAN IMPIAN PUTRA,
BANDAR SERI PUTRA,
43600 BANGI, SELANGOR

Jika berminat sila hubungi: Kamarul 019 2590252 / 019 946 9778 

http://putra-mahkota.com/forum/index.php?topic=3966.0

Saturday, July 17, 2010

Madrasatul-Quran, Kubang Bujuk, Kuala Terengganu

MADRASATUL-QURAN

Kubang Bujuk, Serada 20050 Kuala Terengganu. Terengganu. Malaysia
Tel: 609-6198591 Fax : 609-6198587
Hp: 012-9218701 , 012-9595722 , 013-39849596, 013-983957 , 013-9829597

Email : kubangbujuk@gmail.com 



Syarat-Syarat Kemasukan Kelas Hafiz:Pada dasarnya pihak madrasah menerima bakal pelajar yang berumur antara 12 tahun (tamat darjah 6) sehingga 15 tahun (tamat tingkatan 3) dengan beberapa syarat seperti berikut :

1. Sudah khatam Al-Quran dan boleh membaca seluruh Al-Quran dengan baik dan lancar.
2. Kesihatan yang baik.
3. Persetujuan keluarga dan kemampuan penjaga untuk menyara sehingga tamat pengajian.
4. Lulus temuduga daripada pihak madrasah.
5. Berakhlaq mulia ( 3 bulan pertama dalam perhatian ).
6. Mempunyai kelulusan yang baik dari sekolah terdahulu.
7. Bersedia mentaati segala peraturan madrasah dan menghormati para ustaz.
8. Keputusan syura adalah muktamad.

Syarat-syarat kemasukan para pelajar ke Kelas `Alim {Kitab} ialah:

1. Pelajar seharusnya lancar membaca Al-Quran.
2. Berkebolehan dalam tulisan jawi .
3. Berumur tidak kurang daripada 12 tahun.

Latar Belakang Penubuhan dan Penyelarasan Organisasi  


Madrasatul-Quran Kubang Bujuk (selepas ini ditulis dengan ringkasan MQKB) dibuka dengan rasminya pada 22 hb. November 1982. Ia merupakan sebuah pusat pendidikan al-Quran ala tradisional yang terawal didirikan di Negeri Terengganu. Jaraknya dari bandar Kuala Terengganu lebih kurang 14 km. Kini berkembang terus-sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi al-Quran.

Banyak keunikan terdapat di MQKB. Pengasasan penubuhannya tidak sebagaimana yang terdapat pada madrasah-madrasah atau sekolah-sekolah pondok yang lain di mana kebanyakan pengasas sekolah-sekolah tersebut terdiri daripada alim ulamak dan tok guru-tok guru. Sebaliknya MQKB diasaskan oleh seorang hartawan yang terkenal di Terengganu iaitu  Haji Muda bin Deraman semoga di rahmati Allah atas pengurbanannya. Walaupun beliau tidak mempunyai latar belakang agama yang tinggi namun minat serta kecenderungan yang kuat untuk berkorban serta mencari keridhaan Allah telah berjaya menubuhkan sebuah madrasah yang melahirkan ramai hafiz di Negeri Terengganu.

Biodata Pengasas

Haji Muda bin Deraman atau lebih dikenal dengan panggilan Ayah Haji Muda dilahirkan dalam tahun 1919 di Kampung Penarik, Mercang, Marang, Terengganu. Beliau ialah anak kelima daripada tujuh orang adik beradik dari sebuah keluarga nelayan. Bapanya bemama Deraman bin Salleh manakala ibunya bemama Che Minat bt.Mat.

Sebagai anak nelayan, kehidupan keluarga Ayah Haji Muda tergolong dalam kalangan keluarga yang susah. Dengan sebab itu di masa kecilnya beliau tidak berpeluang mendapatkan pelajaran sebagaimana kanak-kanak lain. Walaubagaimanapun tekad beliau untuk belajar terus membara dalam dirinya. Ketika berusia dua puluh tahun beliau telah menuntut di sebuah Sekolah Pondok Haji Wan Latif di Jertih selama dua tahun dan sekolah Pondok Ittifiyah Tuan Guru Haji `Abbas .

Pengajian selama dua tahun bukanlah mencukupi untuk mengisi ilmu di dada. Tetapi akibat serangan Jepun pada tahun 1945 telah memaksa Ayah Haji Muda berhenti belajar di sekolah pondok tersebut.

Setelah berhenti beiajar di Jertih, Ayah Haji Muda tinggal di kampung halamannya. Akibat kesempitan hidup beliau muIa menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Pada peringkat awal, Ayah Haji Muda menjual kain dan sireh, ketika itu usia beliau baru menjangkau 24 tahun. Pada tahun 1953, ketika usianya 35 tahun beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membesar dan mempelbagaikan perniagaannya. Di samping menjual kain beliau menjadi tauke ikan. Hanya beberapa tahun sahaja tinggal di Kuala Lumpur akhirnya pada tahun 1957 beliau kembali ke Terengganu.

Pengalaman di Kuala Lumpur telah menyemarakkan semangatnya untuk lebih aktif dalam perniagaan. Pada tahun yang sama setelah kembali dari Kuala Lumpur beliau telah berjaya membuka sebuah kedai yang membekalkan kayu papan dan bahan-bahan binaan di Kampung Tanjung dekat Kuala Terengganu. Hasil kemajuan yang diperolehi dari kedai itu beliau telah membuka sebuah ladang getah yang terletak di Kuala Berang.

Untuk mengembangkan lagi perniagaanya, pada tahun 1960 beliau telah berusaha memohon daripada Syarikat Shell Malaysia untuk membuka sebuah stesyen minyak. Dari hasil usaha yang sungguh-sungguh, beliau telah berjaya menyewa sebuah stesyen minyak di Cabang Tiga. Walaupun begitu beliau masih merasa tidak berpuas hati tanpa memiliki stesyen minyak persendirian. Tambah lagi pada waktu itu tidak ada sebuahpun stesyen minyak kepunyaan orang-orang Melayu. Akhimya pada tahun 1979 sebuah stesyen minyak miliknya sendiri berjaya dibuka di Pekan Batu Enam dan terus beroperasi hingga ke hari ini.

Hasil usahanya yang gigih dalam perniagaan telah membawa kejayaan yang cemerlang sehingga Ayah Haji Muda tersenarai di kalangan orang-orang hartawan di Terengganu. Ayah Haji Muda telah berkhahwin sebanyak tujuh kali. Kali pertama perkahwinannya ketika berusia 24 tahun dan kali terakhir ketika berusia 61 tahun. Dari tujuh perkahwinan itu hanya empat orang sahaja isteri yang kekal bersamanya hingga akhir hayat. Mereka ialah Adnan bt.Ali, Khatijah bt.Yusof, Hamidah bt. Mokhtar dan Endun bt Seman. Hasil perkahwinan dengan isteri-isterinya itu beliau telah dikurniakan enam belas orang anak .

Di samping berniaga Ayah Haji Muda merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti dakwah di Terengganu, khususnya dalam kumpulan Jamaah Tabligh. Beliau telah menyertai rombongan dakwah ke seluruh dunia termasuk negara-negara barat. Negara-negara yang pernah beliau pergi untuk usaha dakwah ialah India, Pakistan, Bangladesh, Sri Langka, England, Perancis, Belgium dan Rusia.

Di atas sumbangan dan pengorbanan yang besar dalam kegiatan tersebut, Ayah Haji Muda telah dianugerahkan Pingat Jaksa Pendamai oleh Sultan Terengganu pada tahun 1976. Beliau juga diberi kepercayaan menjadi juri di Mahkamah Juvana Kuala Terengganu pada tahun 1980.

Beliau meninggal dunia pada bulan April 1985. Sesungguhnya kematian beliau merupakan satu kehilangan yang besar sebagai seorang pelopor atau penggerak dakwah di Terengganu. Jasadnya telah disemadikan berhampiran masjid MQKB sebagai mengenang jasa sumbangannya terhadap madrasah tersebut.

Sejarah Penubuhan

Setelah memperolehi kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburinya, Ayah Haji Muda menjadi seorang yang sibuk. Kesibukannya dalam mengejar harta keduniaan telah menyebabkan selera makan dan ketenangannya telah hilang. Beliau merasakan kehidupannya tidak bahagia walaupun mempunyai harta yang banyak. Makan dan minumnya tidak terurus dan hatinya merasa rungsing. Beliau merasakan kekosongan dalam hatinya perlu diisi sesuatu.

Dalam keadaaan sedemikian, Ayah Haji Muda coba untuk berjinak-jinak dengan aktiviti-aktiviti dan majlis-majlis keagamaan untuk mendekatkan di- kepada Allah. Dalam keadaan tercari-cari itu ditakdirkan Allah pada tahun 1974 Ayah Haji Muda telah diketemukan dengan Jama`ah Tabligh dari Singapura di Masjid Buluh Gading. Jamaah yang diketuai oleh Tuan Haji Jufri telah singgah di Terengganu dalam rangka dakwahnya keseluruh Malaysia. Dalam pertemuan yang singkat itu beliau telah merasai bahang dakwah Jamaah Tabligh sehingga meresapi ke dalam dirinya menyebabkan ketenangan mula dirasai. Ini menyebabkan minat untuk terus aktif bersama-sama Jama`ah Tabligh terpahat dihatinya.

Sebagai membuktikan beliau bergerak cergas bersama jama`ah ini, Ayah haji Muda telah menyertai rombongan ini untuk keluar berdakwah selama 40 hari ke Sri Langka pada tahun 1976 dan ke India dan Pakistan pada tahun 1980. Ketika berada di India pada tahun 1980 barulah beliau nampak kejayaan yang diperolehi dari hasil usaha giat dakwah Jama`ah Tabligh ini. Beliau telah melihat kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun sudah fasih menghafal al-Quran sebanyak 30 juzuk.

Keadaaan ini amat berbeza sekali dengan kanak-kanak di Malaysia umumnya dan khususnya di Terengganu dimana dalam usia sebegitu masih lagi tidak tahu membaca al- Quran. Bermula dari sini tersemat di hatinya satu keazaman untuk menghantar salah seorang anaknya belajar tahfiz di India.

Apabila hasratnya itu dikemukakan kepada ulamak disana, lalu beberapa orang ulamak seperti Maulana In'amul Hasan, Maulana Umar dan Maulana Musa Lat sepakat mengesyorkan kepada beliau sebagai seorang hartawan supaya berqorban lebih besar lagi dengan membuka sebuah madrasah tahfiz di Malaysia supaya memberi manfaat kepada seluruh ummat Islam di Asia Tenggara umumnya dan ummat Islam di Malaysia dan Terengganu khususnya. Ekoran cadangan dan nasihat tersebut, tercetus ideanya untuk berbuat demikian.

Sekembalinya ke Tanah Air. Beliau telah berbincang dengan beberapa ulamak yang juga Majlis Syura Jama`ah Tabligh iaitu Ustaz Haji Hasan Kota Baharu dan Haji Saleh Penanti dan beberapa orang lagi mengenai penubuhan madrasah tahfiz itu. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah tempat hendak didirikan madrasah.

Sehubungan dengan itu juga, sebagai tanda prihatin dan dermawannya. Ayah Haji Muda telah mewaqafkan sebidang tanah seluas 2.4 hektar yang dibelinya dengan harga seribu ringgit terletak di Kampung Kubang Bujuk. Meskipun tanah itu pada asalnya untuk dimajukan dengan projek perumahan yang dijangka mendapat keuntungan 2.5 juta ringgit tetapi demi kecintaan kepada agama untuk mencari keredhaan Allah beliau sanggup berqorban semuanya itu. Setelah mendapat tempat, timbul pula masalah kewangan untuk mendirikan bangunan madrasah.

Sekali lagi Ayah Haji Muda menyumbangkan keseluruhan peruntukan untuk membina bangunan itu yang menelan belanja beratus ribu ringgit. Boleh dikatakan hampir seluruh harta kekayaannya diqorbankan untuk pembangunan madrasah ini. Dengan itu terbinalah sudah sebuah madarsah walaupun dalam serba kekurangan dan ala kadar mengikut kemampuan yang ada.

Sebagai langkah untuk memperkenalkan dan memajukan madrasah, Ayah Haji Muda telah berusaha untuk mengadakan ijtimak Jama`ah Tabligh sedunia di Terengganu. Alhamdulillah berkat usaha yang sungguh-sungguh serta pengorbanan beliau yang banyak ijtimak tersebut berjaya di adakan pada bulan November 1982 di Padang Hiliran Kuala Terengganu. Bertepatan dengan waktu yang sama madrasah tersebut dibuka dengan rasminya oleh Hadrat Maulana In'amul Hasan lalu dinamakan dengan Madrasatul-Quran Kubang Bujuk.

Selepas perasmiannya sebagai pengambilan dan pendaftaran pertama dibuat secara terbuka tanpa syarat dan had bilangan yang tidak ditentukan. Ianya mendapat sambutan di luar dugaan dari ummat Islam seluruh Malaysia dan juga selatan Thailand. Pada masa itu MQKB menerima pendaftaran seramai 400 lebih orang pelajar yang berminat untuk belajar disini.

Pengambilan yang tidak bersistematik itu telah menimbulkan masalah yang besar kepada madrasah. Bangunan kelas dan asrama yang telah dibina tidak mencukupi untuk menampung para pelajar yang datang secara mendadak ini. Walau apapun yang terjadi kemudian hari terserah pada takdir Allah, yang penting MQKB membuka pintu seluas-luasnya kepada ummat Islam untuk menimba ilmu.

Sungguhpun berbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut tetapi masih terdapat beberapa perkara yang belum dapat diatasi. Ini kerana semua urusan pentadbiran madrasah terletak di atas bahu Ayah Haji Muda seorang sahaja. Kepincangan pentadbiran berlaku beberapa ketika sehingga berlangsunglah ijtimak di Bangkok pada tahun 1984.

Ketika ijtimak 1984 Ayah Haji Muda telah meluah perasaan dan menceritakan tentang masalah pentadbiran madrasah yang tidak teratur kepada Hadrat Maulana In'amul Hasan. Hadrat Maulana In'amul Hasan telah membentuk satu Majlis Syura dan beliau sendiri sebagai penaungnya. Manakala Haji Ramli anak Haji Muda dilantik sebagai Mudir atau Pengetua.

Untuk melicinkan lagi pentadbiran madrasah, Hadrat Maulana telah menghantar seorang tenaga pengajar dari India iaitu Hafiz Zaffar Ahmad bersama dua orang pembantunya iaitu Hafiz Ahmad Tarmizi dan Ustaz Zakariya. Mereka ditugaskan untuk membantu pentadbiran di samping mengajar tahfiz di madrasah itu.

Selain itu juga sebagai langkah untuk mengurangkan masalah MQKB telah menghadkan bilangan pelajar dari 400 orang kepada 250 orang sahaja, begitu juga bilangan dalam setiap kelas dihadkan cuma 20 orang.

Dalam masa yang singkat nama MQKB telah terkenal hingga ke seluruh Asia Tenggara. Ianya berjaya menarik minat ramai pelajar-pelajar bukan dari Malaysia sahaja malah dari berbagai bangsa di seluruh dunia. Di antara pelajar-pelajar yang belajar di sini datangnya dari Australia, Cina, Arab, Filifina, Amerika Syarikat, Brunai Darus Salam, Indonesia, Singapura, Kemboja dan Vietnam.

Memandang sambutan yang semakin meningkat di kalangan pelajar dari dalam dan luar negeri, Pihak MQKB telah berusaha menambah sebuah lagi bangunan setinggi tiga tingkat yang akan dibina dalam fasa kedua dan sekarang telah pun siap ianya telah digunakan untuk pengajian aliran Kitab (`Alim ).

Matlamat Dasar Penubuhan

Dalam proses awal pembentukan sesuatu pertubuhan atau organisasi, matlamat dan objektif penubuhan merupakan batu asas untuk mencapai kejayaan. Objektif penubuhan amat diperlukan sebagai garis panduan untuk memastikan sesuatu pertubuhan atau organisasi itu dapat berjalan di atas landasan-landasan yang telah digariskan disamping dapat mengelakkan dari berlakunya penyelewengan terhadap matlamat awal penumbuhan.

Merujuk kepada perkara ini, MQKB mempunyai matlamat yang tersendiri di sebalik penubuhannya. Di samping pengajian menghafal al-Quran dan Ulumud din (ilmu Agama) sebagai pengajian utama, tersembunyi matlamat dasar penubuhan madrasah itu yang bersandarkan kepada

firman Allah: 
"Hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang mengajak manusia kepada kebaikan, menyuruh manusia berbuat baik dan mencegah dari kemungkaran, mereka itulah yang mendapat kejayaan sejati' Surah ali Imran 5: 104


Ayat ini merupakan intipati kepada matlamat dasar penubuhan MQKB.Dari sini dapat dipecahkan sebagaimana berikut :

1.      Untuk melahirkan pendakwah yang berwibawa. Untuk itu sebagai melengkapi sifat pendakwah tersebut, kombinasi diantara hafiz dan alim merupakan dua elemen yang perlu. Justeru itu penubuhan MQKB merupakan halatuju dalam merealisasikan dua unsur tersebut kearah melahirkan pendakwah sedemikian.

2.      Melahirkan seramai mungkin para hafiz yang bukan sahaja berkemampuan dalam membaca al-Quran dengan baik malah dapat pula menyebar dan mendidik masyarakat dalam pembacaan, hafalan al-Quran dan ilmu-ilmu agama.

3.      Menjadi model kepada masyarakat dari segi keilmuan agama dan ketinggian akhlaq. Setiap pelajar dilatih dengan ilmu yang dipelajarinya sebagaimana teladan RasuluIlah kepada ummatnya. Firman Allah:

Maksudnya:

"Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan hari kiamat dan dia banyak memuji Allah "

Surah al-Ahzab 32:21
4. Melahirkan pendakwah yang berani dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan, pendirian yang tetap, boleh memimpin diri dan masyarakat.

5. Melatih hidup berjamaah, hidup secara berjamaah adalah tuntutan Islam. Praktikal di lokasi terbatas sebelum menghadapi masyarakat sebenar memudahkan kerja berdakwah

6. Melahirkan insan yang bertaqwa, beriman dan beramal serta sedia berqorban harta, diri, masa dan nyawa untuk meninggikan kalimah Allah.



Lembaga Pentadbiran

MQKB adalah sebuah institusi pengajian di Terengganu yang ditadbir secara persendirian tanpa campur tangan kerajaan. Pentadbiran madrasah ini dijalankan melalui konsep syura. Oleh sebab itu mesyuarat memainkan peranan penting dalam semua pengurusan. Ini bertepatan dengan firman Allah :

"Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka".

Bagi tujuan itu satu badan telah dibentuk berkaitan pentadbiran madrasah yang di namakan Majlis Syura. Majlis ini dianggotai oleh lima orang Ahli Jawatan Kuasa. Ianya berada di bawah seorang penaung iaitu Hadrat Maulana In'arnul Hasan. Manakala Majlis Syura Malaysia berperanan sebagai penasihat.

Carta Organisasi Pentadbiran Madrasah:

1.      PENAUNG

Hadrat Maulana In'amul Hasan

2.      PENASIHAT

(MAJLIS SYURA MALAYSIA)

1. Ustaz Haji Salleh (penanti)

2. Ustaz Haji Hassan (Kota Baharu)

3. Syeikh Mohammad ( masih dalam kemas kini )

4.Bai Khalid

5. Doktor Nasuha

3.      MAJLIS SYURA MQKB

1. Encik Othman b. Muda (Setia Usaha)

2. Haji Mohd. Nor b. Awang (Bendahari)

3. Ustaz Sidi b. Salleh

4. Tuan Syed Idrus b.Syed.A.Rahman

5. Haji Othman b.Nyah

4.      PENGETUA / MUDIR
Haji Ramli bin Haji Muda

     Pentadbiran dan pengurusan madrasah adalah terletak di bawah majlis syura MQKB. Majlis syura ini bertanggung jawab memajukan madrasah terutama dalam projek
  • pembangunan,
  • mendapatkan guru-guru tambahan,
  • mengadakan hubungan dengan institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara untuk tujuan lanjutan pelajaran,
  • mengadakan pertemuan dengan ulamak-ulamak serta para dermawan."

Perlantikan ahli jawatan kuasa majlis syura ini berdasarkan kepada ciri-ciri kepemimpinan Islam yang dimiliki oleh seseorang individu. antara syarat-syarat untuk menjadi pemimpin dalam Islam di antaranya:

a.      Beriman kepada Allah

b.      Berilmu

c.       Berlaku adil

d.      Berkebolehan memimpin

e.      Hikmat dalam memimpin

f.        Lelaki

g.      Sihat mental dan fizikal.

Di samping itu ahli majlis syura ini diambil berdasarkan kepada pengalaman serta kelayakan mereka dalam bidang pendidikan dan pentadbiran.

Bagi mengemaskinikan perjalanan pentadbiran di peringkat madrasah, ianya diserahkan kepada seorang pengetua yang dipanggil mudir. Mudir bertanggung jawab kepada perkara-perkara yang telah dimusyawaratkan supaya dapat dilaksanakan sebaik mungkin, samada perkara berhubungkait dengan soal dalaman, seperti;
  • menyentuh soal guru,
  • pelajar,
  • sistem pendidikan,
  • peralatan dan juga hubungan dengan masyarakat luar.

Di bawah pentadbiran mudir beberapa pengurusan yang telah diamanahkan kepada beberapa orang ketua yang membantu mudir dalam menjalankan urusan-urusan yang berkaitan dengan madrasah. dalam perkara ini, mudir telah membahagikan tugasan tersebut kepada enam bahagian iaitu :

1-      Pengurusan Pejabat
2-      Penyeliaan Makanan
3-      pengurusan Teknikal
4-      Hal Ehwal Kewangan
5-      Akaun
6-      Perubatan dan Kesihatan

Pengurusan Pejabat

Terdapat dua orang kakitangan yang berkhidmat sepenuh masa dibahagian ini. Mereka ialah Ustaz Tengku Muhammad (Ustaz kumat) yang mengendalikan urusan dalaman madrasah yang berhubungkait dengan pelajar dan keluarga pelajar. Manakala seorang lagi kakitangan ialah Encik Mansur b. Sharif yang mengendalikan urusan luar iaitu berkaitan dengan jabatan Imigresen seperti pasport, visa dan tiket penerbangan terhadap pelajar dan tenaga pengajar dari luar negeri.

Penyeliaan Makanan

Bahagian ini diberi mandat kepada Encik Mohd. Saad b.Mohd. Ali sebagai pengelola dan dibantu oleh beberapa orang yang lain. Bahagian ini bertanggung jawab menyediakan makanan yang masak untuk pelajar mengikut menu yang ditetapkan sebanyak tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan petang. Mereka juga bertanggung jawab menghidangkan makanan menggunakan dulang serta menjaga kebersihan makanan dan persekitarannya.

Pengurusan Teknikal

Bahagian ini dikendalikan oleh Encik Mohd. Saad b. Mohd. Ali seorang sahaja. Beliau bertanggung jawab di atas penjagaan dan baik pulih kerosakan bekalan elektrik dan paip air, kelengkapan asrama dan madrasah. ( Bahagian akan dikemaskinikan )

Hal Ehwal Kewangan

Bahagian ini berperanan untuk mngenal pasti individu-individu yang hartawan dan dermawan atau syarikat-syarikat yang besar dan kemudian menghubungi mereka untuk menerima  bantuan kewangan yang mereka telah sediakan buat MQKB.Perlu diingatkan juga MQKB tidak akan semudah itu menerima bulat-bulat sumbangan penderma selain sudah pasti mereka tidak ada kepentingan peribadi atau pemberian dari sumber yang tak halal.

Mereka yang ditugaskan akan bergerak pergi ke rumah-rumah, individu-individu dan syarikat-syarikat yang telah dikenal pasti untuk berjumpa dengan mereka yang berkenaan kemudian memberi galakan dan targhib supaya bermurah hati untuk memberi sumbangan kepada MQKB (Agama). Tugas mereka ini tidak mengikut jadual yang tetap tetapi mengikut keperluan semasa.

Akaun

Bahagian ini bertugas mengurus pendapatan dan pembelian serta memeriksa penyata kewangan MQKB. Dan ia juga berfungsi memberi pandangan dalam masalah kewangan.

Kesihatan atau Perubatan

Bahagian ini berperanan memastikan pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan sentiasa sihat, agar pembelajaran dapat berjalan dengan licin dan lancar, pelajar yang sihat merupakan asas utama pencapaian yang cemerlang dalam penghafalan.

Untuk tujuan itu bahagian ini telah menyediakan ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit yang tidak serius dan menghantar ke hospital jika berlaku kemalangan yang mengakibatkan kecederaan yang teruk atau penyakit yang memerlukan rawatan lanjut.

Kewangan dan Pembiayaan

Madrasah MQKB adalah diantara madarasah-madrasah yang ada di Malaysia dan tidak bergantung kepada sumbangan kerajaan. Ini bukanlah bermakna ianya tidak mendapat tawaran-tawaran dari kerajaan negeri mahupun persekutuan atau pihak-pihak tertentu untuk menghulurkan bantuan. Tetapi madrasah ini mempunyai prinsip tersendiri, tidak mahu terikat dengan mana-mana pihak samada kerajaan ataupun bukan kerajaan.

Sebagai sebuah madrasah yang mengharapkan untuk mendapatkan keridhaan Allah dan bersih dari segala yang syubhah, maka keseluruhan punca kewangan bagi pengurusan dan pembiayaan madrasah adalah bergantung sepenuhnya kepada sumbangan ikhlas ummat Islam. Memberi sumbangan ke jalan Allah sangat digalakkan sebagaimana firman Allah :

Maksudnya:

"Bandingan (derma) orang-orang yang bembelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (Rahmat) Kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengeta uan-Nya.

Al-Baqarah, 2: 261
Disamping itu juga pihak madrasah ingin membuka seluas-luasnya peluang kepada seluruh ummat Islam untuk membuat kebajikan melalui sedeqah jariyah samada berupa harta benda, wang ringgit atau tenaga. Ini bersesuai sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

Maksudnya:

"Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang mendapat manfaat dengannya dan doa anak yang soleh terhadapnya.

Melalui cara ini kewangan yang masuk ke dalam kantung madrasah hanyalah yang bersih dan halal sahaja. Ini bermakna MQKB menolak kewangan yang tidak tahu serta ragu-ragu sumber asalnya. sumber yang syubhah hanya akan menggelapkan hati penghafalan al-Quran.

Pengendalian sebuah institusi pengajian bukan sesuatu yang mudah seperti yang disangkakan. Lebih-lebih lagi seperti MQKB yang sudah besar dan dikenali ramai. Sudah tentu pembelanjaan dan peruntukan tahunannya perlu besar juga.

Pembelajaran tahunan untuk menguruskan madrasah ini adalah dianggarkan sebanyak RM …………..setahun." Ini termasuk pembelanjaan penyediaan makanan untuk pelajar, membayar elaun guru dan kakitangan, membayar bil elektrik dan air, pembelanjaan asrama dan madrasah serta lain-lain perbelanjaan untuk pentadbiran dan pengurusan. 

Untuk menampung pembelanjaan yang besar itu, berbagai aktiviti telah dijalankan untuk mendapatkan sumbangan ikhlas dari masyarakat bagi menguruskan pembelanjaan madrasah.

Terdapat tiga sumber utama yang dijalankan oleh pihak pentadbir madrasah untuk memperolehi kewangan tersebut iaitu :

1.      Melalui yuran pelajar .

2.      Melalui sumbangan dari mesjid-mesjid .

3.      Melalui dermawan secara individu atau kumpulan dalam dan luar negeri

Yuran Pelajar

Yuran pengajian merupakan salah satu syarat yang dilaksanakan ke atas setiap pelajar. Ianya merupakan satu sumber tetap untuk menampung perbelanjaan dan pembiayaan di setiap institusi pengajian persendirian. Melalui yuran ini segala kemudahan pelajar dapat diatasi dan dipenuhi.

Dalam hal ini MQKB telah mengenakan yuran sebanyak RM.30.00 awal tahun. 80 han,kemudaian naik RM50.00 kemudian  RM.65.00 dan sekarang RM 90.00 setiap seorang pelajar. Sumber kewangan dari yuran ini digunakan khusus untuk kepentinga pelajar sahaja seperti
  • makanan harian di asrama,
  • penginapan,
  • peperiksaaan,
  • pengajian dan
  • lain-lain pembelanjaan yang bersangkutan dengan urusan kepentingan pelajar.

Walau bagaimanapun yuran ini dikecualikan terhadap pelajar-pelajar miskin dan anak yatim bahkan mereka ini diberi bantuan kewangan dan bantuan pakaian sekali sekala.

Terdapat sembilan puluh buah masjid di seluruh Malaysia yang aktif dan cenderung kepada pergerakan dakwah jamaah Tabligh ini. Masjid-masjid ini memberi sumbangan kepada MQKB dalam bentuk kewangan mengikut sebanyak mana yang termampu dikumpul oleh masjid-masjid tersebut. Hasil sumbangan ini pihak pentadbir menggunakannya untuk memberi imbuhan atau suguhati kepada tenaga pengajar dan kakitangan yang berkhidmat.

Dermawan

Dalam usaha mendapatkan kewangan melalui cara ini pihak pentadbir telah melantik ahli jawatan kuasa untuk menghubungi atau menemui para usahawan dan hartawan dalam dan luar negeri. Dari sini ahli jawatan kuasa yang dilantik akan mengajak golongan tadi untuk membuat kebajikan melalui sedekah jariyah dengan menghulurkan derma kepada MQKB. Sumbangan yang diperolehi dari pada usaha ini akan diperuntukkan bagi pembangunan satu-satu projek yang besar. Usaha ini adalah menepati ajaran Rasulullah menggalakkan ummatnya bersedekah.

Sabda Rasulullah:

Maksudnya:

Tidak ada satu haripun yang dilalui oleh hamba-hamba Allah melainkan diturunkan pada hari itu dua malaikat, salah satu darinya menyeru . 'Ya, Allah berikanlah kepada orang yang membelanjakan hartanya gantian terhadap harta yang telah dinafkahkannya sementara malaikat yang satu lagi menyeru : "Ya Allah berikanlah kepada orang menahan hartanya (bakhil) kebinasaan {terhadap haratanya).

Selain sumber tersebut, terdapat juga individu menymbangkan dengan cara mewaqafkan harta mereka kepada MQKB.

Tenaga Pengajar dan Kelayakannya

Sesuatu yang tidak dapat dinafikan, guru memainkan peranan penting dalam sebuah sekolah ataupun institusi pengajian tinggi. tanpa guru atau tenaga pengajar, sesebuah pusat pengajian adalah mustahil untuk mencapai kemajuan. Memandangkan fungsi guru adalah penting dalam memajukan pusat pengajian, maka soal tenaga pengajar tidak boleh dipandang sambi1 lewa. Dalam hal ini tenaga pengajar-tenaga pengajar yang berpotensi dan berketerempilan merupakan idaman setiap institusi untuk mendapat perkhidmatan mereka .

Bagi MQKB untuk mendapatkan tenaga pengajar yang berkualiti tidak menghadapi masalah walaupun ianya merupakan madarasah persendirian. Ini kerana ramai alim ulama yang bersedia memberikan sumbangan tenaga masing-masing walau tanpa gaji yang tetap.

Ini dapat dibuktikan dengan kesediaan beberapa orang dari luar negeri sanggup membawa keluarga masing-masing dan tinggal di sini semata-mata untuk memberi sumbangan mengajar disini.

Bermula pengajian diperingat awalnya dengan dua orang tenaga pengajar kini mempunyai 29 orang tenaga pengajar yang bertugas sepenuh masa untuk memberikan perkhidmatan terhadap perkembangan pengajian tahfiz dan kitab di sini. Mereka datang dari berbagai negara. Selain dari Malaysia terdapat juga yang datang dari negara-negara Islam yang lain seperti India, Pakistan, Brunai, Bangladesh, Thailand dan Indonesia. Pada tahun 2009 semua yang berkhidmat di MQKB hanya dari Malaysia  kecuali seorang sahaja.

Jumlah tenaga pengajar yang berkhidmat di sini sentiasa berubah-ubah dari masa kesemasa. ini disebabkan kebanyakan tenaga pengajar yang berkhidmat di sini tidak terikat dengan apa jua syarat pelantikan dan perjanjian malah kedatangan mereka semata-mata didorongkan oleh rasa bertanggungjawab untuk menyumbangkan tenaga menyebarkan ilmu kepada ummat Islam. Di samping itu juga masalah visa dan pribadi juga adalah menjadi faktor kepada perkara ini.

Menyentuh tentang kelayakan, MQKB tidak mensyaratkan kelulusan yang tinggi kepada tenaga pengajar yang ingin bertugas di sini. Asalkan sanggup berqorban untuk berkhidmat kerana Allah serta berpuas hati menerima imbuhan atau saguhati yang diberikan walaupun begitu terdapat ramai juga yang berkhidmat di sini mempunyai kelulusan dari institut pengajian tinggi di Mesir,India dan Pakistan yang setaraf dengan kelulusan institut pengajian tinggi tempatan. Demi kepentingan agama soal gaji mereka ketepikan.

Hanya mereka yang benar-benar  ikhlas dan sentiasa mengharapkan keridhaan Allah serta faham bahawa dunia ini adalah ladang untuk akhirat dapat kekal dengan tugas ini yang tidak menjanjikan kemewahan duniawi seperti itu. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah :

Maksudnya:

Sesiapa yang berkehendakan akhirat hendaklah ia tinggalkan kemewahan dunia.

Abu Isa Muhammad bin Isa bin Surrah al-Tirmizi, SunanA/-Tirmizi, Juz 4, Mustafa al-Baabi alHalabi, Mesir, 1962, hIm 367.

Di bawah ini disenaraikan nama  dan kelulusan mereka yang sedang mengajar di kelas Hafiz :

1.      Ustaz AbdulLatif bin solih-India.
2.      Ustaz Muhammad Noh Bin berdan-Kubang Bujuk.
3.      Ustaz Suhaimi Bin Ismail-Kubang bujuk
4.      Ustaz Emzani Bin Husain-kubang bujuk.
5.      Ustaz Noruddin Bin Musa-Kubang Bujuk.
6.      Ustaz Syaharuddin Bin Adam-Kubang Bujuk.
7.      Ustaz Hj Hasbullah Bin Yusuf-kubang Bujuk.
8.      Ustaz Zaid bin Umar-Kubang Bujuk.
9.      Ustaz Irwan Bin Abdul Halim-Kubang Bujuk.
10.  Ustaz Hamdan Bin Amin-Kubang Bujuk.
11.  Ustaz Mahdi Bin Abdullah-Kubang Bujuk.
12.  Ustaz Tengku Syahid Bin Tengku Muhammad-Kubang Bujuk.

 Ini antara Ustaz yang pernah berkhidmat di kelas hafiz MQKB:

1.      Ustaz Aliyan Bin Abdul Wadud- Indonesia
2.      Ustaz Abdul Ghani Bin Ismail Darul Ulum –India
3.      Ustaz Muhammad Din Bin Muhammad Darul Ulum _ India
4.      Ustaz Muhammad Omar Bin Qamaruddin Darul ulum - India
5.      Ustaz Amir Hamzah-Kubang Bujuk
6.      Ustaz W. Hassan Bin Hj. A. Rahman-Kubang Bujuk
7.      Ustaz Haji Nor Bin Sulaiman Pondok Pasir Tumbuh
8.      Ustaz mohd. zaki pondok Pasir Tumbuh
9.      Ustaz Qamaruddin Darul Ulum - India
10.  Ustaz Sulaiman Bin Ibrahim- Mesir

Selain itu terdapat 15 orang guru yang mengajar di kelas Alim, Mereka ialah:

1.      Ustaz AbdulFattah Bin `Abbas
2.      Ustaz Syarifuddin Bin Qasim.
3.      Ustaz Ahmad fuad Bin Haji Saidi.
4.      Ustaz Jamal Husain
5.      Ustaz `Azmi Bin Idris.
6.      Ustaz Asy`aryi Bin Ahmad.
7.      Ustaz Fikri Bin Ibrahim.
8.      Ustaz Muhammad Zaki Bin Ya`aqub.
9.      Ustaz Tarmizi Bin Fauzi.
10.  Ustaz Izzuddin Bin Haji Zahari.
11.  Ustaz Ilyas Bin Muhammad.
12.  Ustaz `Azhimuddin Bin Mushtafa.
13.  Usatz Fadhly Bin Musa.
14.  Ustaz Hakim Bin Musa.
15.  Ustaz  Muhammad Fahmi
16.  Ustaz Abang Sarawak Saifuddin Bin Mahlim Al-Bujuky.

Dibawah ini disenaraikan nama-nama Asatizah yang pernah berkhidmat di kelas alim (kitab).

1.      Ustaz Muhammad Bin Abdul Qadir-Nadwah India.
2.      Ustaz Daud -Nadwah India.
3.      Ustaz Haji Ahmad Bin Hajar -Lucknow India
4.      Ustaz Maulana Mohd Bilal Bin Sadgar Ali -Madinah
5.      Ustaz Maulana Delawar Hussin Pakistan
6.      Ustaz Abd, Razak Harun Lucknow India

Sebagai menghargai dan mengenang jasa pengorbanan yang telah dicurahkan oleh tenaga-tenaga pengajar tersebut, berbagai keistimewaan telah disediakan untuk mereka.

Kemudahan - Kemudahan Yang Disediakan

MQKB merupakan pusat pengajian persendirian yang tidak mendapat apa-pa bantuan dari pada kerajaan. Semua urusan pengendalian terletak diatas inisiatif dan kesabaran pendokong MQKB serta sokongan masyarakat islam yang prihatin terhadap usaha-usaha untuk menegakkan islam di bumi Allah. Di atas sokongan dan sumbangan mereka ini, khususnya dari segi material berbagai-bagai kemudahan dapat disediakan sekadar yang termampu oleh MQKB sebagai mana berikut:

Bantuan Kewangan

MQKB telah melakukan berbagai cara dalam usaha untuk membantu kewangan pelajar. ini kerana pembiayaan pengajian di institusi-institusi pengajian persendirian seperti MQKB adalah di tanggung oleh keluarga pelajar sendiri. Bagi pelajar-pelajar yang kurang mampu perkara ini merupakan sesuatu yang berat. Namun minat yang mendalam di dalam pengajian memaksa mereka menanggung itu semua. Bagi mengatasi masalah ini beberapa langkah telah di ambil, diantaranya.

Sistem Anak Angkat.

MQKB akan mengenal pasti anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang miskin, kemudian pihak pentadbir mencari penaja terutama dari golongan yang kaya untuk menanggung pembiayaan pengajian pelajar tersebut. Dengan cara ini dapat mengurangkan bebanan pengajian yang ditanggung oleh mereka.

Buku Akaun Sumbangan Orang Ramai.

Hasil sumbangan yang diperolehi dari derma ummat Islam akan dimasukkan ke dalam buku akaun sumbangan orang ramai untuk diagih-agihkan kepada para pelajar ketika kecemasan dan kesuntukan kewangan disamping untuk membangunkan projek-projek besar madrasah.

Tempat Penginapan

Tempat penginapan merupakan diantara perkara asas yang pertama disediakan oleh pihak MQKB ketika mula ditubuhkan dahulu. Kemudahan ini disediakan termasuklah untuk penginapan semua pelajar, tenaga pengajar dan kaki tangan madrasah. Mereka semua ditempat di dalam satu kawasan MQKB.

Penyediaan begini memudahkan pengawasan tenaga pengajar terhadap para pelajar disamping dapat dilatih supaya hidup bermasyarakat. bagi para pelajar kehidupan di asrama membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap pelajaran tanpa ada sebarang gangguan. Oleh itu mereka diwajibkan tinggal di asrama walaupun rumah mereka berdekatan dengan MQKB. Di antara tempat penginapan yang disediakan itu diperuntukkan kepada dua bahagian iaitu :

I. Untuk tenaga pengajar dan kakitangan

Tempat penginapan untuk tenaga pengajar telah disediakan 20 buah rumah teras dan 5 buah rumah dua tingkat. Rumah-rumah tersebut yang mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu dan bilik dapur itu telah dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air paip. Mereka tidak dikenakan apa-apa bayaran sewa tetapi hanya dikehendaki membayar bil elektrik dan air sahaja.
 
II. Pelajar

Terdapat 13 blok bangunan yang dijadikan 3 asrama untuk penginapan pelajar seramai 394 orang. Setiap satu blok boleh dimuatkan lebih kurang seramai 50 orang pelajar. Bangunan asrama tersebut telah dilengkapi dengan katil-katil kayu yang dibuat secara sederhana, manakala tilam dan bantal perlu dibawa oleh pelajar sendiri.

Pelajar-pelajar tidak perlu memasak makanan sendiri kerana ianya telah disediakan oleh bahagian penyediaan makanan sebanyak tiga kali sehari. Peraturan yang dikenakan kepada para pelajar adalah sama seperti yang dilaksanakan di asrama-asrama yang terdapat di sekolah-sekolah biasa. Setiap hari seseorang guru ditugaskan untuk mengawasi kebajikan dan keselamatan para pelajar. Mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan madrasah kecuali setelah mendapat kebenaran dari ustaz atau tenaga pengajar.

Masjid

Di sini terdapat sebuah masjid dua tingkat boleh menampung beribu jamaah tetapi masjid tersebut tidak dapat digunakan untuk solat jumaat kerana ianya tidak mendapat kebenaran dari JHEAT. Walau bagaimanapun pelajar-pelajar diwajibkan solat lima waktu secara berjemaah di masjid tersebut. Selain digunakan untuk solat ia juga digunakan untuk majlis-majlis ilmu dan tempat musyawarat.

Tabung Saku Pelajar

Tabung ini diadakan untuk menjaga keselamatan wang pelajar. Pelajar tidak dibenarkan menyimpan sendiri wang terutama pelajar baru. Untuk tujuan itu, MQKB telah menyediakan sebuah buku catitan wang keluar masuk bagi setiap penyimpan. Untuk perbelanjaan harian pelajar dibenarkan mengeluarkan wang sebanyak dua kali dalam satu minggu iaitu hari Ahad dan Rabu sahaja. Bagi setiap kali wang keluar tidak lebih dari sepuluh ringgit.

Perpustakaan

Terdapat sebuah perpustakaan yang disediakan untuk para pelajar membuat rujukan. Buku yang terdapat di sini adalah sumbangan dari para dermawan dan juga dibeli dari luar negeri. Buku-bukunya terdiri dari bahasa Arab, Urdu, Parsi, Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Padang Permainan

Terdapat sebuah padang permainan, walaupun tidak mencukupi ukuran padang sebenar tetapi sudah memadai untuk pelajar-pelajar bermain . MQKB juga telah menyediakan beberapa gelangang badminton, Keranjang dan sepak takraw untuk memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar beriyadhah pada waktu petang.


PEMBELAJARAN DAN KEGIATAN

Kurikulum Bahagian Kelas Hafiz

Pendidikan al-Quran merupakan pelajaran yang utama dan terpenting di madrasah ini. Ianya bertepatan dengan nama dan tujuan penubuhan madrasah tersebut. Di samping itu terdapat juga pelajaran lain yang diajar disini yang dinamakan pelajaran umumi.

Di dalam kurikulum ini, mata pelajaran menghafal al-Quran adalah diberi penekanan dan tumpuan utama. Boleh dikatakan 90 peratus waktu pembelajarannya adalah dikhususkan untuk pelajaran tersebut. Keseluruhan pembelajaran menghafal al-Quran dalam sehari ialah 9 jam 15 minit.

Mengenai mata nelaiaran umumi yang diajarkan di sini ialah mata pelajaran  fardhu ain, tajwid, adab dan sunnah Rasulullah s.a.w.' Pelajaran-pelajaran ini diajar secara umum dan asas sahaja. Masa pembelajaran pelajaran-pelajaran ini 30 minit setiap hari. Kesemua mata pelajaran ini diajar selama 180 minit seminggu. Ianya diajar secara bergilir-gilir mengikut hari yang ditentukan. Jadual berikut menunjukkan mata pelajaran umumi yang diajar di MQKB dalam seminggu dan jumlah minitnya.

1. Fardu Ain 2 x 30 =60

2 .Tajwid 2 x 30= 60

3 .Adab 1 x 30 =30

4 .Sunnah Rasullah 1 x 30 =30

Pelajaran ini dihadkan serta dikurangkan waktu pembelajarannnya ialah bertujuan supaya pelajar-pelajar tidak bercelaru dengan sukatan pelajaran yang banyak dan membebankan kepada mereka. Dengan ini penekanan boleh ditumpukan terhadap menghafal al-Quran sahaja. Walau bagaimanapun mereka boleh meneruskan pengajian secara lebih mendalam lagi dalam aliran kelas alim setelah mereka berjaya menjadi hafiz.

Menyentuh tentang sukatan pelajaran mengikut tahun pengajian, MQKB tidak merangka atau menyusun suatu sukatan pelajaran yang khusus. Ini kerana sistem pengajian disini lebih bercorak tradisional maka sukatan pelajaran hanyalah mengikut keupayaan pelajar dalam menghafal. Satu garis panduan telah dibuat, para pelajar disyaratkan supaya dapat menghafal 10 juzuk atau sekurang-kurangnya 7 juzuk dalam setahun.

Sistem Pengajian.

Dalam mengimplimentasikan kurikulum serta merealisasikan pendidikan disini, MQKB telah mempraktikkan satu sistem pengajian yang berbeza dengan ma`ahad-ma`ahad tahfiz yang lain. Sistem pengajian yang diamalkan di sini ialah sistem deobandi, di mana satu sistem yang diceduk dari sistem pengajian yang diamalkan di kebanyakan madrasah-madrasah hafiz di India dan Pakistan." Sistem ini adalah hampir menyerupai sistem pendidikan secara tradisional yang banyak diamalkan di sekolah-sekolah pondok di Malaysia.

Dasar sistem ini sebenarnya bersumberkan kepada sistem talaqqi dan musyafahah sebagaimana sistem yang diamalkan oleh Rasulullah ketika menerima wahyu dari malaikat Jibril. Pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian ini duduk secara halaqah mengelilingi guru tanpa meja dan kerusi hanya mengunakan Rihal atau sekarang yang lebih masyhur meja lipat khas seperti yang ada dipasaran. Setiap pelajar memperdengarkan bacaannya kepada guru, setiap kesalahan akan ditegur dan diperbetulkan , kemudian guru akan memperdengarkan pula bacaanya kepada murid sebagai bacaan contoh.

Tahap pengajian dalam sistem ini dibahagikan kepada dua iaitu:

kelas prahafiz (kelas nazirah) dan kelas hafiz.

  1. Kelas nazirah dikhususkan kepada pelajar-pelajar yang baru diterima masuk ke madrasah. Tempoh pembelajaran di sini selama tiga bulan hingga satu tahun. Ini bertujuan untuk menilai setakat mana kemampuan membaca al-Quran dan kesungguhan mereka untuk menghafal. Dalam kelas ini, pelajar-pelajar diberi penekanan tentang membetulkan bacaan secara bertajwid serta mempelajari teknik-teknik dan cara-cara menghafal al-Quran . 
  2. Manakala kelas hafiz pula ialah untuk pelajar-pelajar yang telah layak serta telah lulus ujian daripada kelas nazirah. Kemasukan pelajar-pelajar ke kelas hafiz tidak menurut umur serta tahun kemasukkan mereka ke madrasah ini. Ia juga tidak mengikut pencapaiaan pelajar. Tetapi kemasukkannya dibuat setelah terdapat kekosongan dalam kelas tersebut. Apabila ada kekosongan satu ujian akan diadakan. Sekiranya pelajar yang layak serta lulus dalam ujian melebihi kekosongan satu undian akan dibuat. Setelah terpilih barulah mereka akan dimasukkan kedalam kelas-kelas yang mempunyai kekosongan bersama-sama pelajar lain hingga berjaya menghafal 30 juzuk.

Pelajar yang baru masuk ke kelas hafiz tidak akan menghafal ayat atau juzuk mengikut pelajar yang sedia ada dalam kelas tersebut. Ini kerana penyusunan kelas di sini tidak mengikut bilangan juzuk yang dihafal oleh pelajar. Mereka diberi pilihan untuk memulakan hafalan sama ada bermula dari juzuk pertama hingga juzuk ketiga puluh atau sebaliknya mengikut selera pelajar-pelajar tersebut.

Menyentuh soal sistem pembelajaran harian, ia juga agak berbeza dengan sistem yang dijalankan di sekolah-sekolah biasa. Perbezaan tersebut adalah dari segi tempoh waktu pembelajaran harian. Hari pembelajaran di sini mengikut waktu pejabat iaitu enam hari dalam seminggu bermula dari hari sabtu hingga hari khamis. Hari khamis pembelajaran separuh hari sahaja, manakala hari jumaat merupakan hari cuti mingguan.

Program pembelajaran mereka adalah sepanjang hari bermula dari sebelum subuh hinggga lewat malam. Mereka diajar dan dikawal samada di dalam dan di luar kelas secara berterusan oleh tenaga pengajar secara bergilir-gilir. Begitupun sistem ini bukanlah sesuatu yang mengongkong jiwa dan perasaan atau melahirkan rasa bosan untuk belajar dikalangan pelajar-pelajar di sini malah ianya semakin mendekatkan diri kepada Allah serta semakin menambah cinta kepada al-Quran.

Pengajian bermula pada jam 5.15 pagi. Pada waktu ini pelajar-pelajar dikehendaki melancarkan hafalan sabaq selama 45 minit sehingga pukul enam pagi. Kelas berehat sekejap untuk menunaikan solat fardhu subuh. Selepas solat pada jam 6.15 pagi. Sabaq yang telah dihafal dengan lancar akan ditasmi`a kepada ustaz tanpa terdapat sebarang kesalahan. Kelas berhenti rehat untuk bersarapan pagi pada pukul 7.30 pagi.

Pada jam 8.30 pagi kelas pengajian tahfiz disambung semula sehinggalah jam 11.00 pagi. Pada waktu ini pelajar-pelajar akan melancarkan pelajaran para sabaq atau yang tak sempat tasmi`a sabaq boleh juga dibaca untuk disempurnakan pada tempoh waktu itu juga.

Bagi pelajar-pelajar yang telah lancar mereka boleh boleh mentasmi`a terus kepada ustaz mereka tetapi bagi pelajar-pelajar yang kurang lancar diberi peluang untuk melancarkan lagi, ustaz akan merekodkan ke dalam buku daftar setelah pelajar membaca dengan lancar dan kesalahan tidak lebih dari tiga. Pada jam 11.00 pagi dalam masa 30 minit pelajar-pelajar akan diajar dengan pelajaran umumi. Seperti pelajaran fardhu `ain, tajwid, adab dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Kelas bagi sesi petang bermula pada jam 2.30 petang sehingga jam 4.30 petang. Dalam tempoh dua jam ini pelajar akan melancarkan amukhtar untuk disemak kepada ustaz dalam waktu itu juga. Jika didapati pelajar itu masih tidak ingat amukhtarnya maka ustaz berhak memberhentikan pelajaran sabaqnya supaya memberi tumpuan kepada amukhtarnya.

8. Ayat-ayat yang baru dihafal dan belum lagi mantap

9. Ayat-ayat yang sudah ingat dihafal tetapi ketika mentasrni" kepada ustaz pelajar perlu mengiringi bacaan sabak yan telah dihafal.

10. Ayat-ayat yang telah di hafal mencapai satu juzuk.

Pada sebelah malam kelas bermula selepas solat maghrib sehingga solat isyak selama satu jam. Dalam tempoh waktu ini pelajar akan diberi pelajaran baru ( pelajaran sabaq) untuk dihafal sebanyak satu atau dua muka surat mengikut kemampuan pelajar itu. Sebelum menghafal pelajar akan melancarkan terlebih dahulu ayat-ayat tersebut dengan dibaca berulang-ulang kali dalam satu-satu ayat. Pelajaran diberhentikan 15 minit sebelum solah isyak,  solat isyak di tunaikan jam 9.00.

Pada jam 9.30 pelajar-pelajar diberi kebenaran untuk aktiviti bacaan bebas tetapi tumpuan hendaklah kepada melancarkan hafalan para sabaq sebanyak satu juzuk. Kelas berakhir pada jam 10.00 malam.

Dalam usaha untuk melahirkan pelajar-pelajar yang optimis serta mantap hafalan, MQKB telah memperkenalkan sistem pasangan dan sistem dor. Melalui sistem pasangan pelajar-pelajar dipasangkan secara berdua-duaan untuk melatih tubi hafalan dalam setiap masa dan juga ketika guru tidak sempat mentasm`a hafalan mereka.

Manakala melalui sistem Dor ianya dikhususkan kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya menghafal 30 juzuk tetapi tidak dibenar meninggalkan madrasah selagi belum mengambil syahadah. Pelajar-pelajar ini dikehendaki mengulang hafalan selama enam bulan hingga dua tahun. Sistem ini dibahagi kepada dua bahagian iaitu :

I. Pelajar-pelajar yang telah lancar amukhtar mereka setelah khatam 30 juzuk, mereka akan terus mengulang dari awal hingga akhir 3 juzuk sehari dengan beberapa kali khatam, dalam tempoh ini penekanan diberi tumpuan kepada kelancaran dan ketartilan. Setelah guru berpuas hati bilangan juzuk akan ditambah kepada lima juzuk dan seterusnya tujuh juzuk dengan beberapa kali khatam. Pada tahap ini penekanan kepada tajwid diberi perhatian, kemudian ditambah kepada sepuluh juzuk sehari sekurang-kurangnya dua kali khatam.

2. Pelajar yang lemah dalam penjagaan amukhtar, walaupun telah khatam 30 juzuk, sabaq ulang akan diperkenalkan di mana pelajar terpaksa membaca seperempat atau setengah juzuk sebagai sabaq setiap hari. Cara mengulang begini dikenakan sehingga selesai sabaq ulang 30 juzuk, kemudian barulah bermula bacaan Dor secara berturutan tiga juzuk, tujuh juzuk hingga sepuluh juzuk dan juzuk pertama hingga akhir.

Tempoh Pengajian Cuti

Pada dasarnya pengajian tidak ada waktu penghujung, kecuali mati. Ini sebenarnya haqiqat pengajian di MQKB. Begitupun terdapat beberapa garis panduan kepada pelajar supaya tidak terlalu leka dan ketinggalan dalam mengejar ilmu.
Secara umumnya MQKB tidak menetapkan tempoh pengajian seseorang pelajar di sini. Ini kerana terdapat di kalangan pelajar yang berjaya menghafal 30 juzuk dalam tempoh dua tahun dan ada juga yang melebihi empat tahun belum khatam lagi. Oleh kerana itu MQKB tidak mensyaratkan mesti khatam dalam tempoh tersebut sebaliknya bergantung pada kemampuan para pelajar dalam menghafal tetapi hafalan mereka tidak kurang dari tujuh juzuk dalam setahun.

Sekiranya seorang pelajar gagal menghafal sejumlah juzuk yang dikehendaki, pelajar ini akan diberi nasihat dan amaran supaya melipat gandakan usaha. Satu pertemuan dengan penjaganya untuk diminta pandangan samada pelajar ini boleh meneruskan lagi pelajarannya di sini atau dipindahkan ke madrasah lain.

Manakala pelajar yang berjaya menjadi hafiz dalam tempoh tersebut, mereka dibenarkan meneruskan pengajiannnya di situ untuk mempertajamkan dan memantapkan hafalannya sehingga berjaya memperoleh syahadah, Sementara untuk mendalami lagi ilmu-ilmu agama mereka boleh meneruskan pengajian ke kelas alim yang khusus untuk pengajian agama dan bahasa arab.

Menyentuh tentang cuti tahunan pengajian di sini ianya jelas berbeza dengan sistem pendidikan negara yang melaksanakan cuti dua kali setahun. Dalam hal ini MQKB hanya bercuti sekali setahun. Begitu juga tarikh serta tempoh masa bercuti adalah berbeza menurut tahap hafalan para pelajar itu. Bagi pelajar-pelajar yang menghafal 20 juzuk ke bawah cuti mereka bermula 15 Syaaban hingga 7 Syawal. Sementara cuti bagi mereka yang menghafal 21 juzuk ke atas cuti mereka bermula 21 Ramadhan hingga 7 Syawal. Ini di sebabkan pelajar-pelajar yang menghafal 21 juzuk ke atas ini akan dilatih menjadi Imam sembahyang sunnat tarawih secara berpasang-pasangan di bawah kawalan guru sehinggalah 20 Ramadhan. Manakala cuti bagi pelajar hafiz 30 juzuk bermula 15 Sya`aban hingga 23 Sya`aban. Selepas 23 Sya`aban mereka perlu datang semula ke madrasah untuk dihantar menjadi Imam sembahyang tarawih ke masjid-masjid.

Bagi pelajar-pelajar ini, cuti ini bukanlah bermakna mereka berlepas tangan terus dari pengajian. Sebaliknya mereka dipertanggung jawabkan dengan berbagai aktiviti dan program yang telah diatur oleh pihak madrasah.

Jika diperhatikan cuti yang diperuntukan untuk pelajar-pelajar ini adalah pendek berbanding dengan cuti persekolahan bagi sekolah-sekolah biasa. Ini bertujuan supaya para pelajar dapat menjaga hafalannya kerana cuti yang panjang akan merosakkan hafalan serta program yang telah ditarbiyahkan di madrasah.

Di samping itu terdapat juga cuti yang diperuntukkan untuk para pelajar selain cuti tahunan seperti cuti pada Hari Raya `Aidil Adha selama 10 hari dan juga cuti jika berlaku urusan kecemasan kepada pelajar. Cuti ini akan dilulus melalui satu musyawarat yang dibuat oleh tenaga pengajar.

Peperiksaan

Peperiksaan merupakan satu cara penilaian sejauh mana penerimaan para pelajar serta pencapaian mereka terhadap sesuatu mata pelajaran yang diajarkan kepada mereka dan seterusnya melihat keberkesanan sesuatu corak pengajian yang dijalankan disamping dapat mengukur kejayaan seseorang guru dalam menyampaikan pelajaran.

Atas tujuan ini, MQKB telah menjalankan peperiksaaan kepada para pelajarnya sebanyak dua kaIi setahun iaitu peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan akhir tahun. Peperiksaan-peperiksaan tersebut dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu secara lisan dan bertulis. Peperiksaan secara bertulis dikhususkan untuk pelajaran umumi sahaja, manakala peperiksaaan secara lisan pula adalah dikhususkan untuk pelajaran menghafal alQuran.

Semua peperiksaan ini dikendalikan sendiri oleh Lembaga Peperiksaan MQKB di mana ahli jawatan kuasanya dibentuk melalui musyawarat guru. Ahli jawatan kuasa peperiksaan ini akan bertindak dalam merangka soalan, menentukan tarikh dan menyusun pelajaran mengikut kumpulan. Pelajar-pelajar dibahagi kepada enam kumpulan berdasarkan tahap hafalan pelajar. Kumpulan-kumpulan itu adalah:

1 . 1 - 6

2 . 7 - 13

3 . 14 - 18

4 . 19- 22

5 .  23-29

6 . 30

Kumpulan-kumpulan ini akan diuji oleh dua orang ustaz bagi setiap satu kumpulan. Peperiksaaan untuk menghafal al-Quran akan berjalan selama tiga hari kecuali untuk menghafal bawah lima juzuk, peperiksaannya hanya satu hari sahaja. Bagi mata pelajar umumi peperiksaan akan dibuat selama dua hari.

Dalam pelajaran menghafal al-Quran, cara penilaiaannya dibagi kepada dua peringkat iaitu untuk pelajar hafiz dan pelajar belum hafiz. Bagi pelajar hafiz ujiannya ialah sebanyak 30 juzuk. Jumlah markah penuh bagi pelajaran ini ialah 100 markah, 90

60 markah untuk kelancaran dan 10 markah untuk tajwid. Tiga soalan akan ditanya dalam satu hari, setiap satu soalan 10 markah dan dicampur dengan satu soalan dari tajwid.

Soalan yang akan dikemukakan kepada pelajar dibuat dalam dua cara.
·        Melalui sistem undi surah iaitu pelajar diberi peluang mencabut kertas undi dan kertas tersebut bertulis surat dan ayat yang akan dihafal. Ustaz akan membaca pembukaan ayat dan disambung oleh pelajar tersebut.
·        Cara kedua ialah ustaz membaca kepala surah atau juzuk atau setiap awal muka surat atau mana-mana bahagian mengikut kesukaan ustaz untuk disoal, pelajar akan menyambung membacanya hingga tamat.

Bagi pelajar-pelajar yang belum hafiz, soalan yang dikemukakan kepada mereka mengikut jumlah surah yang dihafal. Bentuk soalan dan perjalanannya adalah sama dengan pelajar-pelajar hafiz kecuali bagi pelajar yang menghafaz 5 juzuk ke bawah.

Peperiksaan umumi

Peperiksaan untuk pelajaran umumi dibuat dalam masa dua hari. Jumlah markah penuh bagi setiap mata pelajaran ialah 100 markah.

Syahadah

Untuk mendapatkan syahadah satu ujian lain akan dijalankan terhadap para pelajar yang telah hafiz 30 juzuk. Sebelum mereka dibenarkan menduduki peperiksaaan akhir, para pelajar tersebut perlu terlebih dahulu melalui proses mengulang untuk melancarkan hafalan yang dinamakan Dor dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun. Ini tidak terkecuali kepada pelajar dari madrasah lain yang telah khatam menghafal al-Quran yang datang kesini untuk mengambil syahadah. Ini bertujuan supaya pelajar tersebut tidak mengambil kesempatan untuk mendapatkan sijil dalam tempoh yang singkat.

Dalam ujian ini, pelajar berkenaan akan membaca al-Quran 30 juzuk dalam masa dua hari iaitu 10 juzuk satu hari dan dirasmi`a oleh tiga orang guru serta dibantu oleh enam orang hafiz. Jika didapati kesalahan tidak melebihi 10, pelajar itu dikira berjaya, Kesalahan-kesalahn itu termasuklah:
  • kesalahan baris,
  • ayat, huruf,
  • terlupa dan sebagainya.
Jika kesalahan melebihi 10, pelajar itu disuruh mengulang semula sehingga ketahap yang dikehendaki.

Terdapat beberapa syarat yang perlu dilaksanakan oleh pelajar yang berjaya dalam peperiksaan ini untuk melayakkannya mendapatkan syahadah. Diantara syarat itu ialah :

a. Keluar khuruj fi Sabilillah sekurang-kurangnya 40 hari.

b. Menjadi Imam Tarawih 30 juzuk sekurang-kurangnya sekali sahaja.

c. Menyelesaikan segala hutang madrasah.

d. Yuran jangan ada yang  tertunggak.

Gred kelulusan bagi peperiksaan syahadah menghafal al-Quran .
  1. Mumtaz
  2. 1-5 Jayyid Jiddan
  3.  6-10 Jayyid
  4. 11-15 Maqbul
Kelayakan Masuk

Sebagaimana institusi-institusi pengajian yang lain, MQKB juga mempunyai syarat-syarat tertentu bagi melayakkan seseorang pelajar untuk mengikut pengajian tahfiz di sini. Walaupun begitu syaratnya tidak seketat sepertimana yang telah ditetapkan oleh ma`ahad-ma`ahad tahfiz yang lain. Ianya tidak memerlukan kelulusan tertentu serta terbuka kepada seluruh ummat Islam samada dalam dan luar negara. Apa yang penting ialah berkesanggupan untuk menghafal al-Quran dan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.


Diantara syarat yang telah digariskan oleh MQKB adalah seperti berikut :

a. Berumur diantara 12 hingga 15 tahun.

b. Telah khatam al-Quran dan boleh membaca dengan baik.

c. Mempunyai kesihatan yang baik.

d. Mendapat persetujuan dari keluarga dan berkemampuan untuk menyara pelajar hingga khatam.

e. Mempunyai akhlaq yang baik.

Selain dari syarat-syarat kelayakan sepertimana yang telah dinyatakan di atas, calon-calon yang ingin belajar di madrasah ini juga dikehendaki menjalani satu temuduga kemasukan. Calon-calon akan ditemuduga oleh satu jawatan kuasa pengelola madrasah yang terdiri daripada tenaga pengajar.

Aspek-aspek yang akan ditemuduga termasuklah perkara yang berkaitan dengan al-Quran, tajwid dan pengetahuan am dari sudut kebolehan menghafal al-Quran. Sekiranya calon-calon lulus dalam temuduga tersebut dan memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan, maka barulah layak bagi calon tersebut untuk belajar di sini. Tetapi ini terpulang kepada kekosongan kelas sekiranya kelas telah penuh, pelajar tersebut terpaksa menunggu dan namanya tercatat dalam senarai pelajar menunggu.

MQKB juga menerima kemasukan pelajar-pelajar yang melebihi 15 tahun, selain syarat-syarat di atas pelajar-pelajar peringkat umur ini disyaratkan keluar berdakwah selama 40 hari sebelum pendaftaran. lni adalah sebagai latihan sedia berkorban untuk melengkapkan diri bagi menghadapi pelajaran.

Bilangan Pelajar

Pengambilan pelajar untuk memasuki kelas tahfiz di MQKB ini tidak dihadkan jumlah kemasukannya. Begitu juga tidak mengkhususkan untuk negeri-negeri tertentu, latar belakang pendidikan dan juga taraf hidup keluarga. Sikap terhadap pendidikan benar-benar direalisasikan di sini.

Oleh karena pengambilan pelajar tidak mengikut masa sepanjang tahun. Ini mengakibatkan sejak penubuhan 1982 terlalu banyak permohonan diterima dari ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sini. lni dapat dilihat ketika pendaftaran mula dibuka pada hari perasmian terdapat 400 pelajar mendaftar untuk belajar di sini.

Memandang beberapa masalah dalaman yang belum dapat diatasi seperti tempat tinggal dan tempat belajar hanya seramai 20 hingga 30 orang sahaja pelajar diterima masuk setiap tahun. Kini terdapat 394 orang pelajar yang sedang belajar di sini. Mereka datang dari seluruh negara dan juga luar negara terutama dati Asia Tenggara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja dan Brunai Darus Salam.

walaupun tidak mendapat pengiktirafan dari pihak kerajaan negeri dan pusat secara rasminya tetapi mutu hafalan merupakan jaminan yang menentukan seseorang itu hafiz atau tidak, bukannya bergantung kepada syahadah semata-mata, perakuan yang ditunjukkan adalah merupakan pengiktirafannya.

Peluang Melanjutkan Pelajaran

Sejak ditubuhkan dua puluh tujuh tahun yang lalu, MQKB telah berjaya melahirkan hafiz al-Quran seramai 480 orang  keatas yang telah melepasi ujian syahadah 30 juzuk manakala hampir 2,000 orang tampa menduduki ujian tersebut . Dari jumlah ini MQKB boleh dikategorikan yang terunggul dalam mengeluarkan graduan para hufiznya.

Dengan Kelulusan-kelulusan ini melayakkan melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara misalnya di India, Pakistan, Mesir ,Yaman dan Saudi Arabia. Sungguhpun begitu para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke luar negara perlu berusaha serta mengeluarkan pembelanjaan sendiri. Ini kerana sebagai sebuah madrasah persendirian ianya tidak memberi apa-apa jaminan untuk pelajarnya melanjutkan pelajaran ke tempat lain. MQKB lebih suka para pelajar menyumbangkan tenaga untuk membantu perkembangan pendidikan di situ. Ini selaras dengan impian MQKB untuk menaikkan taraf pengajian disini sehingga setaraf dengan Sarjana Muda sastera dari Universiti- universiti tempatan.

Dasar MQKB yang tidak menyekat mana-mana pelajarnya untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi samada dalam dan luar negara telah mendapat sambutan dari kalangan para pelajarnya untuk mencari angin serta kedudukan yang lebih selesa. Ini disebabkan ada dikalangan pelajar yang ingin mencari pekerjaan yang tetap dari kerajaan dengan ijazah yang diiktiraf. Kebanyakan pelajar-pelajar ini menyambung pelajaran di India atau Pakistan dan juga di Mesir dan Saudi Arabia. Kadang-kadang terdapat juga yang belajar di India atau Pakistan dan terus menyambungnya ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti al-Azhar. Walau bagaimanapun tidak terdapat catatan atau rekod tentang bilangan pelajar yang melanjutkan pelajaran, ini disebabkan mereka membuat keputusan secara persendirian tanpa melalui MQKB.

Terdapat juga pelajar-pelajar di bawah tajaan MQKB telah tamat melanjutkan pelajaran di Pakistan dan indoniasa. Pelajar-pelajar yang terpilih tersebut adalah pelajar-pelajar yang cemerlang serta mempunyai kredibiliti yang unggul sebagai tokoh untuk membangunkan pendidikan di MQKB.

MQKB menaruh harapan yang tinggi terhadap mereka ini untuk menaikkan taraf pendidikkannya.

Berdasarkan pencapaian pelajar-pelajar ini nanti, jelas menunjukkan penerimaan pusat-pusat pengajian Islam dunia terhadap lulusan MQKB dan ternyata kepercayaan yang diberikan sememangnya tepat kerana pencapaian pelajar MQKB tidak boleh dipertikaikan lagi.

Maka sudah sampai masanya pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia menerima masuk pelajar-pelajar lulusan pondok berdasarkan keilmuan mereka.

Ko- Kurikulum

Kegiatan ko-kurikulum bolehlah diertikan sebagai gerakerja dan aktiviti yang dilakukan di luar waktu pembelajaran formal. Ini meliputi segala bidang pergerakan, persatuan, perkumpulan, permainan dan perkara-perkara lain yang membantu pembelajaran formal. Kegiatan-kegiatan ini boleh menggalakkan dan melatih para pelajar supaya bertanggung jawab, berdisiplin dan berkemahiran dalam sesuatu lapangan tertentu.

Apa yang jelas, kegiatan ko-kurikulum adalah sebahagian dari kurikulum yang membantu untuk mencapai matlamat pendidikan di sesebuah sekolah. Ianya merangkumi segala aktiviti pendidikan di luar waktu pembelajaran formal atau di luar bilik darjah. Memandang falsafah dan pendidikan Islam adalah kearah pembentukan Model insan yang salih dan bertaqwa, justeru itu kegiatan ko-kurikulum mestilah menuju kearah falsafah dan matlamat tersebut.

Malangnya aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dewasa ini yang pada dasarnya bertujuan melatih para pelajar supaya bertanggung jawab, berdisiplin, berdikari kearah pembentukan warga negara yang berguna kepada bangsa dan negara adalah dirasakan sudah jauh melencung dari persoalan akhlaq, norma-norma agama seakan-akan dipinggirkan.

Merujuk kepada MQKB, sungguhpun penghafalan al-Quran merupakan penekanan utama tetapi perkembangan ko-kurikulum tidak terus diabaikan. Aktiviti-aktiviti untuk mempertingkatkan kekuatan fizikal, mental dan rohani sentiasa diambil kira. Pelajar MQKB digalakkan beriadhah terutama pada waktu petang selepas sembahyang asar. Setiap hari kecuali pada hari sabtu dan khamis, permainan yang dibenarkan ialah ping pong, badminton, bola tampar, bola sepak dan sepak takraw. Memandangkan ko kurikulum bukanlah menjadi perkara yang penting dan utama, permainannya adalah dikendalikan sesama mereka tanpa ada bimbingan dari ustaz khas kecuali bola sepak kerana ianya dibenarkan dengan seorang ustaz yang akan mengawal mereka kerena di adakan di luar kuawasan MQKB itupun hanya pagi jumaat sahaja.

Sebagai usaha untuk menguatkan mental dan rohani pula, berbagai aktiviti telah disusun. Di antara aktiviti yang telah diprogramkan ialah latihan dakwah. Latihan dakwah dibuat dalam dua bentuk iaitu dakwah sesama pelajar dan dakwah terhadap masyarakat. Latihan dakwah sesama pelajar dijalan setiap hari iaitu di waktu pagi selepas besarapan. sementara pada waktu petang dijalankan selepas solat asar kecuali pada hari jumaat, sabtu dan khamis. Kesemua aktiviti ini dikendalikan oleh para pelajar.

Manakala dakwah terhadap masyarakat sekitar dijalankan pada petang iaitu pada hari sabtu khusus untuk kakitangan sahaja namun pejalar-pelajar ada juga dibentuk jamaah sendiri untuk berusaha dikelangan mereka dan akan pergi asrama keasrama dan pada hari  khamis pula pelajar yang berumur 16 tahun keatas dibenarkan keluar dakwah kearah tempat yang telah diputuskan. Aktiviti seperti ini dilakukan bertujuan untuk menggalakkan pelajar melatih diri supaya berani tampil menghadapi masyarakat di samping meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah.


PROSPEK MQKB DAN CABARANNYA

Sambutan Masyarakat

Sejak penubuhan MQKB pada tahun 1982, sambutan masyarakat adalah menggalakkan. Ini dapat dilihat pada hari pertama pendaftaran dibuka selepas perasmiannya, sambutan ummat Islam adalah di luar dugaan. Mereka bukan sahaja menghantar anak mengikuti pengajian di sini, malah mereka juga memberi sumbangan berbentuk material, kepakaran dan tenaga. Sehingga kini terdapat 394 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian  di sini campur hafiz dan Alim.

Jumlah ini mengatasi pusat-pusat pengajian tahfiz lain di seluruh Malaysia. Ini membuktikan satu petanda baik terhadap sambutan masyarakat kepada sistem pengajian tahfiz secara tradisional. MQKB bukan sahaja mendapat sambutan dari rakyat Terengganu malah datang dari seluruh negara bahkan dari beberapa negara Asia Tenggara seperti Thailand, Filiphin,Cina,Indonesia, Singapura, Brunai Darussalam ,Vietnam dan Kemboja.

Ini menunjukkan betapa ummat Islam sangat menaruh serta memberi kepercayaan tcrhadap kemampuan MQKB di dalam melahirkan para hafiz.

MQKB juga mendapat sambutan dari semua lapisan masyarakat termasuk golongan berada dari seluruh pelosok negara. Buktinya terdapat banyak kereta mewah yang menghantar anak-anak mereka. Ini menunjukkan ada juga minat ibubapa menghantar anak ke sekolah pondok khususnya tahfiz bukan lagi menjadi minat orang-orang kampung yang miskin sahaja seperti dahulu bahkan ianya sudah mendapat sambutan dari orang-orang kaya.

Fenomena ini berlaku akibat rasa tidak puas hati terhadap pendidikan sekular yang tidak berjaya menangani masalah keruntuhan moral di kalangan ummat Islam hari ini. Oleh itu sebagai alternatif mengatasi masalah tersebut, sesetengah ibubapa mengalih haluan ke pusat-pusat tahfiz dan sekolah-sekolah pondok yang menyajikan pendidikan agama dan pendidikan al-Quran seratus peratus. Dari sini akhlaq anak-anak mereka terpelihara dan ummat Islam terbela.

Seorang responden, Menyatakan sebab menghantar anaknya ke MQKB ialah untuk menjadikannya seorang hafiz dengan menghafal al-Quran akan dapat menyelamatkannya di dunia dan akhirat. Memandangkan remaja hari ini berhadapan dengan berbagai gejala keruntuhan moral dan pendidikan di sekolah biasa tidak dapat mengatasi masalah tersebut. Tetapi melalui pengajian tahfiz dan pendidikan agama yang dilaksanakan di sekolah-sekolah pondok seperti MQKB dan seakan dengannya sahaja yang dapat menyelamatkannya.

Seorang lagi yang ditemubual,iatu pesara guru, menyatakan anaknya sebelum ini seorang yang nakal, sukar dikawal, suka melepak, malas solah serta suka melawan ibu bapa. Sebagai altenatif untuk mengatasi masalah tersebut maka beliau telah mengambil keputusan untuk menghantar anaknya ke MQKB. Setelah setahun belajar di sini perangainya berubah menjadi seorang anak yang baik, rajin solah serta membaca al-Quran.

Namun ada juga pelajar yang didik di mana-mana madrasah tapi akhlaq mereka tak berubah ada yang jadi lebih parah .disini pihak ibu bapa hendaklah memahani bahawa untuk berubah seseorang itu hendak datang dari dirinya sendiri kalau tidak ada perasaan mahu mengubah walau seorang malaikat dihantar untuk menbentuk dan mendidik pasti tidak akan berubah dengan itu hendak difahami jangan ustaz-ustaz dipersalahkan .


Keputusan Soal Selidik dari 30 responden
  1. Mutu Hafalan Dan Sistem Pengajian ( 80 )
  2. Akhlaq ( 70 )
  3. Yuran Pengajian Murah ( 70 )
  4. Kecermelangan dalam Melahirkan Hafiz ( 40 )
  5.  Pengaruh Kawan ( 40 )
  6.  Pilihan Sendiri ( 20 )
  7. Paksaan Ibu Bapa ( 20 )
  8. Tidak mendapat tawaran dari lain-lain pusat tahfiz ( 10 )
Hasil tinjauan dan temubual dengan pelajar-pelajar, kebanyakan mereka bersyukur kerana dapat belajar di sini. Akhlaq dan tabiyah ustaz-ustaz MQKB dapat mengikis perangai yang kurang sihat sedikit demi sedikit dan dapat digantikan dengan sifat- sifat mahmudah. Ini kerana paling ditekankan dalam pendidikan di MQKB ialah ibadat solat, terutama solat secara berjamaah dan pengajian al-Quran serta ilmu-ilmu Agama Ternyata hal ini banyak memberi kesan kepada pelajarnya.

Sungguhpun MQKB mendapat sambutan yang membanggakan dari ummat Islam tetapi malangnya penduduk setempat memberi sambutan yang dingin terhadap madrasah ini. Hanya terdapat beberapa orang sahaja penduduk setempat menghantar anaknya belajar di sini. Keadaan ini sangat menyedihkan.

Responden pertama yang ditemubual Tuan Haji Arifin b. Mohd. menjelaskan bahawa tanggapan sesetengah pihak kepada MQKB sebagai pusat Jamaah Tabligh. Oleh itu mereka bimbang anak-anak mereka akan terpengaruh dengan Jamaah Tabligh.

Responden kedua yang ditemubual, En. Razali b. Abdullah mengatakan belajar di MQKB langsung tidak berpeluang menjawat jawatan tinggi dengan kerajaan malah apabila gagal menjadi hafiz, masa depan mereka tidak terjamin.

Responden ketiga Puan Rohani Ismail memberitahu sebab penduduk di sini kurang berminat berlajar di MQKB kerana disiplinya terlalu ketat. Ini tidak sesuai dengan kanak-kanak zaman sekarang.

Daripada hasil temubual di atas segala tanggapan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap MQKB adalah hanya secara rambang dan emosional sahaja. MQKB dalam menangani perkara tersebut tidak menjawab secara terbuka sebaliknya mengemaskini pentadbiran dan pengajiannya agar mereka yang kurang faham ini satu nanti akan terpegun dan terpesona dengan kejayaan dan kecemerlangannya dalam melahirkan hafiz, ulamak-ulamak dan orang yang berakhlaq mulia.

Peluang Perkerjaan.

MQKB tidak memberi apa-apa jaminan pekerjaan untuk pelajar-pelajar lepasannya. Selaras dengan tujuan pendidikan MQKB yang bukan bermatlamatkan untuk mendapatkan jawatan tetapi untuk mengamalkan ilmunya. Apa yang penting bagi tenaga pengajar MQKB ialah untuk melihat sejauh mana pelajar-pelajarnya dapat melakukan kerja-kerja dakwah dengan menjadikan diri mereka sebagai qudwah hasanah untuk diteladani.

Walaupun tujuan belajar bukan untuk mendapatkan kerja makan gaji, namun masyarakat sudah memperakui mutu hafalan serta ilmu yang ada pada pemegang-pemegang syahadah MQKB sama ada dalam aliran Hafiz atau Alim, Ianya bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Oleh yang demikian para pelajar lepasan MQKB tidak sia-sia. Ini dapat dilihat bagaimana para pelajar yang masih belajar sudah mendapat tawaran menjadi imam khususnya imam sembahyang tarawih di bulan Ramadhan. Buktinya setiap tahun banyak permintaan diterima oleh MQKB dari masjid-masjid dan surau-surau seluruh negara supaya menghantar pelajar-pelajarnya menjadi imam di tempat mereka. Walau bagaimanapun permintaan ini tidak dapat dipenuhi semuanya kerana kekurangan pelajar yang berkemampuan. Pada bulan Ramadhan sahaja, MQKB bersiap sedia  memenuhi permintaan yang banyak dari masjid-masjid diseluruh negara, daripada ratusan permintaan yang diterima, Di antara masjid dan surau yang bernasib baik itu ialah yang telah membuat tempahan sebelum bulan Rajab lagi.

Pelajar-pelajar yang berkelulusan MQKB tidak mendatangkan masalah dalam mencari pekerjaan, mereka tetap mempunyai peluang pekerjaan tertentu, seperti kata pepatah sebutir permata walau di mana jua jatuh sinar tetap tidak akan hilang. Ini adalah bersesuaian dengan kelulusan yang telah diperolehi oleh lepasan pelajar-pelajar MQKB.

Menurutnya lagi setakat ini terdapat ramai di kalangan lepasan MQKB telah bertugas dengan kerajaan negeri mahupun pusat seperti memegang jawatan imam di beberapa buah negeri seluruh Malaysia. Dengan tugas yang dipertanggung jawabkan sepeti ini mereka dapat menggantikan imam-imam lama yang telah sedia ada yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam serta tidak mempunyai bacaan al-Quran yang baik. Di antara mereka yang telah dilantik menjadi imam besar di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh Malaysia.

Di samping mereka ini terdapat ramai lagi kelulusan MQKB yang telah berjaya memegang jawatan imam dan bilal di masjid kerajaan di beberapa buah negeri tetapi tidak direkodkan. Ini kerana tidak ada usaha yang dibuat untuk mendaftar dan memfailkan nama-nama mereka. Oleh itu jumlah yang sebenar tidak diketahui.

Selain itu mereka juga layak menjawat jawatan sebagai guru agama di sekolah. Terdapat ramai lulusan ini sudah bertugas sebagai tenaga pengajar di sekolah-sekolah sama ada sekolah kerajaan mahupun sekolah persendirian. Kemahiran serta ilmu yang mereka miliki dalam bidang agama khususnya pendidikan al-Quran sangat diperlukan sekali. Ini memandangkan kurangnya tenaga pengajar yang betul-betul berkelayakan dalam bidang ini.

Seterusnya kelulusan MQKB ini juga berpeluang untuk menjadi guru-guru pelawat atau guru-guru ta'mir yang bertugas untuk mengajar pengajian al-Quran dan pelajaran-pelajaran agama di masjid-masjid atau surau-surau yang dikendali oleh majlis-majlis agama negeri. Penglibatan mereka dalam bidang pengajian seperti ini memang diperlukan oleh masyarakat sesuatu tempat. Oleh itu menjadi tanggungjawab bagi mereka yang telah mendapat pendidikan khusus dalam bidang tersebut memikul tugas ini.

Terdapat juga dikalangan lulusan MQKB ini tidak berminat untuk bekerja makan gaji walau mendapat tawaran sebaliknya lebih suka bekerja sendiri seperti berniaga dan bertani, Dengan bekerja sendiri mereka bebas dan tidak terikat, ini membolehkan mereka bergerak cergas dalam usaha dakwah. Ini dapat menonjolkan sebagia model pendakwah yang hafiz.

Walauapapun kerja yang mereka lakukan, sama ada bekerja dalam sektor awam mahupun sendiri, mereka diberi tawaran untuk mendapat elaun bulanan oleh Kerajaan negeri Terengganu sebagai galakkan. Elaun bulanan ini adalah pemberian sagu hati oleh kerajaan negeri kepada mereka yang berjaya menghafal al-Quran. Di samping sebagai galakan kepada orang ramai untuk menghafal al-Quran juga sebagai bantuan untuk menampung keperluan hidup mereka.


Peranan Dan Sumbanganya Kepada Masyarakat

MQKB merupakan sebuah pusat pengajian al-Quran yang mempunyai peranan tersendiri dalam usaha untuk memelihara kesucian al-Quran. Matlamat penubuhan MQKB sendiri bolehlah disifatkan sebagai sebahagian usaha murni tersebut. Berteraskan kepada matlamat yang telah digariskan MQKB menjadi harapan besar dalam merealisasikan kehidupan masyarakat hari ini dengan penghayatan al-Quran yang sebenar.

Sebagai sebuah madrasah tahfiz yang terbesar dan terunggu] di Terengganu, ia sudah tentu menjadi tumpuan dan harapan masyarakat Islam seluruhnya dalam melaksanakan usaha-usaha tersebut.

Jika dilihat secara zahir, peranannya hanya mendidik dan memberi pengajaran yang berkaitan dengan al-Quran disamping pelajaran agama yang lain. Tetapi pada hakikatnya ia berperanan dalam mengembalikan kebangkitan masyarakat Islam ke arah mencintai alQuran. Ini dapat dibuktikan dengan sasaran utama pengajiannya ditumpukan kepada golongan remaja di mana golongan ini ialah golongan yang paling ramai dan mudah terpengaruh dengan perkara yang kurang sihat.

Mengenai sumbangannya, bahawa lepasan-lepasan MQKB telah masuk khidmat ke dalam masyarakat dengan memegang jawatan imam, bilal, guru agama di sekolah dan juga guru-guru agama yang mengajar al-Quran atau ilmu-ilmu agama yang lain di masjid-masjid dan surau-surau.

Dengan jawatan-jawatan yang telah disebutkan itu, sudah tentu mereka ini akan dapat memberikan sumbangan yang sewajarnya kepada masyarakat melalui tugas dan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada mereka. Adalah diharapkan mereka akan menunaikan tugas-tugas tersebut dengan penuh rasa tanggung jawab, amanah dan ikhlas untuk kepentingan masyarakat demi mengharapkan keridhaan Allah.

Di samping menunaikan tanggungjawab yang wajib terdapat juga dikalangan mereka yang mengorbankan masa dan tenaga dengan mengadakan kelas-kelas fardhu ain dan pengajaran al-Quran kepada kanak-kanak dengan ikhlas dan sukarela dengan hanya mengharapkan keridhaan Allah. Ini adalah atas kesedaran mereka tentang kewajiban menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Walauapapun kerja yang mereka lakukan sama ada secara rasmi seperti menunaikan tanggungjawah yang diamanahkan atau menyampaikan ilmu pengetahuan secara ikhlas kepada masyarakat, tidak dapat dinafikan lagi memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat, seterusnya akan melahirkan dalam masyarakat tersebut satu generasi yang baik.

Kesan Penubuhan  MQKB

Hasil dari penubuhan MQKB sejak 27 tahun yang lalu telah melahirkan banyak implikasi yang positif terhadap perkembangan pendidikan al-Quran di Terengganu khususnya dalam pengajian tahfiz. Di antara kesan terpenting hasil tertubuhnya MQKB ialah dapat mengembalikan semula pendidikan al-Quran secara tradisional iaitu sistem talaqqi تلقي dan musyafahah مشافهة .

Pengajian al-Quran tidak bersesuaian diajarkan dengan sistem moden. Ini kerana penyebutan makhraj, kaedah tajwid dan beberapa perkara lain mengenai bacaan al-Quran tidak dapat dibetulkan melainkan dengan cara talaqqi dan musyafahah. Sistem moden yang diajar di sekolah-sekolah biasa gagal melatih murid-murid membaca al-Quran dengan betul.

MQKB selain dapat menambah pusat pengajian Islam, ia juga sebagai peransang kepada munculnya empat lagi pusat pengajian tahfiz di Terengganu di peringkat awalnya iaitu
·        Maahad Tahfiz di Kuala Terengganu,
·        Madrasah Tahfiz di Besut,
·        Madrasah Tahfiz di Kuala Menjing dan
·        Madrasah Tahfiz di Kuala Pelandang Kuala Berang. Kesemua pusat ini muncul setelah tertubuhnya MQKB.

Maahad Tahfiz di Kuala Terengganu yang letaknya di Padang Midin dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu, manakala tiga lagi adalah dibiayai secara persendirian oleh masyarakat dan seterusnya hingga kini telah banyak Madrasah - Madrasah telah ditubuhkan . Dengan bertambahnya pusat tahfiz yang banyak, maka ia dapat membantu dan menggalakkkan masyarakat Islam untuk menghafal al-Quran .

Hasil pendidikan MQKB pula telah berjaya melahirkan hafiz yang mantap. Setiap pelajar dinasihatkan supaya menjaga mutu hafalan, Pelajar-pelajar yang sudah hafiz tidak dibenarkan menduduki syahadah sehingga betul-betul lancar. Mereka disarankan supaya sentiasa berdampingan dengan al-Quran dan membacanya sekurang-kurangnya tiga juzuk satu hari sehingga bacaan al-Quran menjadi darah daging mereka. Mereka juga diingatkan menjauhi perkara-perkara maksiat dan makanan yang syubhat yang menyebabkan gelap hati untuk menghafal al-Quran. Dengan ini mereka lebih mantap dan lebih lancar serta lebih diberi kepercayaan oleh masyarakat daripada lulusan-lulusan ma`ahad tahfiz kelolaan kerajaan.

Seterusnya hasil penubuhan MQKB dapat melahirkan kader-kader dakwah yang berkaliber. Kombinasi hafiz dengan ilmu-ilmu agama di samping pengajian yang berkonsepkan keikhlasan dapat menambah lagi kewibawaan mereka. Pendakwah sedemikian amat diperlukan dalam usaha menghadapi tribulasi ummat Islam hari ini di samping dapat menghindarkan dari tohmohan pendakwah 'demand'.

Pelajaran umumi yang diajar 30 minit setiap hari tidak cukup untuk bekalan kepada pelajar sebagai persiapan untuk menjadi pendakwah yang alim dan hafiz. Walaupun terdapat pelajaran agama yang diajar secara takhasus disediakan kepada pelajar lepasannya, namun begitu mungkin ada dikalangan pelajar yang berhenti Iebih awal setelah menerima syahadah tahfiz, ini kerana mereka cuba menukar selera sama ada untuk mencari pekerjaan atau berhenti terus dari pengajian. Oleh itu untuk melahirkan pelajar- pelajar yang hafiz lagi alim tidak akan tercapai kerana kekurangan ilmu untuk menghadapi masyarakat.

Pihak pentadbiran madrasah tidak memerlukan dan tidak akan  berusaha dari masa ke masa untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap syahadah yang di keluarkan MQKB, khususnya pihak kerajaan. Walaupun ianya penting dalam masa kini namun Pengiktirafan ini amat tidak diperlukan miskipun untuk faedah jangka panjang kepada pelajar lulusan MQKB serta untuk perkembangan dan kemajuan MQKB ini sendiri .

MASIH DALAM KEMASKINI OLEH :USTAZ ABANG SARAWAK SAIFUDDIN MAHLIM AL-BUJUKY.

Rujukan:
http://www.freewebs.com/madrasatulquran/
 

Related Posts with Thumbnails